Barbie perkenal anak patung skoliosis  - Utusan Malaysia

Barbie perkenal anak patung skoliosis 

KOLEKSI anak patung skoliosis terbaharu Barbie diberi nama Chelsea.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CALIFORNIA: Anak patung Barbie yang ‘menghidap’ skoliosis diperkenalkan minggu lalu dalam usaha mempelbagaikan rangkaian permainan dan menyuntik semangat baharu terutama bagi kanak-kanak yang turut menderita penyakit itu.

Lapor Sky News, koleksi terbaharu rangkaian anak patung Barbie diberi nama Chelsea, menampilkan bentuk lengkungan pada bahagian badan patung bersama pendakap belakang tambahan berwarna hijau yang boleh ditanggalkan.

Pasukan kakitangan di syarikat permainan Mattel bekerjasama rapat dengan Pakar bedah saraf dan gangguan tulang belakang kanak-kanak, Dr.Luke Macyszyn yang menjadi penasihat kepada pereka dalam menghasilkan anak patung itu.

Anak patung comel berukuran kira-kira 15 sentimeter itu memakai gaun merah jambu yang dipadankan dengan kasut putih dan rambut perang beralun.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Global Barbie Mattel, Lisa McKnight berkata, rekaan tersebut bertujuan untuk menormalisasikan peralatan itu, menggalakkan kanak-kanak meraikan perbezaan dalam kalangan mereka dan tidak menjadikan penyakit itu sesuatu yang janggal. 

“Kami percaya pada kuasa perwakilan dan komited untuk mencipta anak patung dalam pelbagai rupa supaya kanak-kanak dapat melihat diri mereka dalam Barbie.

“Koleksi terbaharu, Chelsea menyediakan lebih banyak cara untuk mencetuskan penceritaan tentang kehidupan sambil memberikan anak-anak cara untuk mengembangkan empati dan kemahiran interaksi sosial mereka melalui permainan anak patung,” jelasnya.

Selepas dikritik kerana mengeluarkan rangkaian anak patung yang terlalu kurus dan berunsur seksual, syarikat itu kini mengorak langkah untuk mencipta kepelbagaian dalam koleksinya.

Beberapa keluaran terbaharu Barbie menampilkan anak patung yang menggunakan kerusi roda, bersaiz besar, memakai hijab dan anak patung bahasa isyarat.

Tahun lalu, syarikat itu turut mengeluarkan koleksi Barbie pertamanya dengan alat bantuan pendengaran yang disokong oleh selebriti terkenal Britain, Rose Ayling Ellis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya