Amaran kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan

Amaran kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan

SEORANG anggota polis berusaha memadam kebakaran di kawasan hutan Palangkaraya di Kalimantan.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Pemerintah Indonesia mengeluarkan amaran kepada petani dan syarikat perladangan agar bersiap menghadapi kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan yang turut dikhuatiri boleh mencetuskan jerebu dan menjejaskan negara jiran Singapura serta Malaysia.

Amaran kebakaran hutan dibuat  berikutan kemungkinan berlaku cuaca kering berpanjangan di Asia Tenggara susulan perubahan corak fenomena El Nino yang dijangka mengakibatkan musim panas berpanjangan dan lebih buruk berbanding tahun sebelumnya.

Sumatera Tengah yang merupakan lokasi di mana jerebu sering dikesan berarak ke Semenanjung Malaysia dan Singapura biasanya mengalami cuaca kering dua kali setahun, sekitar Mac dan Oktober.

Ketua Agensi Kaji Cuaca, Iklim dan Geofizik, Dr. Dwikorita Karnawati berkata, selepas tiga tahun berturut-turut cuaca kebanyakannya basah, petani dan syarikat perladangan dijangka terperangkap dengan kemungkinan berlakunya El Nino tahun ini.

“Hujan akan kurang bukan hanya pada Oktober tetapi sebenarnya, kami sudah menyaksikan hujan mula berkurang sejak awal Februari,” katanya.

Jelas beliau, cuaca kering sudah dialami di Riau, sebahagian Jambi, Sumatera Utara, sebahagian Sulawesi dan barat laut wilayah Papua Barat.

Semua bahagian lain di Indonesia mengalami musim kering sekali sahaja antara Mei dan September.

“Kita harus berwaspada, terutama di Riau dan Jambi bagi kemungkinan berlaku kebakaran hutan dan kawasan perladangan,” kata Dwikorita.

Menurutnya, kejadian cuaca basah atau La Nina, tiga tahun berturut-turut mendorong kebanyakan petani dan syarikat menggunakan kaedah tebas dan bakar bagi membersihkan kawasan perladangan tetapi tindakan sedemikian tidak boleh dilakukan dalam keadaan cuaca sangat kering.

Indonesia mengalami masalah jerebu antara 1997 dan 2015 apabila petani dan syarikat perladangan mengamalkan kaedah tebas dan bakar.

Kebakaran pada  2015 sangat meluas dan diburukkan oleh kemarau sehingga mencetuskan jerebu yang turut menyelubungi Singapura serta Malaysia.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya