fbpx

Rakyat Palestin bimbang keganasan memuncak selepas Netanyahu kembali terajui Israel

RAKYAT Palestin bimbang dengan masa depan mereka selepas Benjamin Netanyahu kembali menjadi Perdana Menteri Israel.-AGENSI

BAITULMUQADDIS: Parlimen Israel menerima angkat sumpah Benjamin Netanyahu sebagai Perdana Menteri baharu, sekaligus meningkatkan kebimbangan rakyat Palestin tentang masa depan mereka.

Lapor Al Jazeera, tahun 2022 menjadi yang paling buruk bagi rakyat Palestin di Tebing Barat selepas Israel melakukan serbuan ketenteraan hampir setiap hari termasuk pengeboman selama tiga hari berturut-turut di Semenanjung Gaza pada Ogos lalu.

Namun, kemasukan tokoh berhaluan kanan dalam kerajaan yang sebelum ini dianggap terlalu radikal walaupun untuk politik Israel  menimbulkan kebimbangan ramai pihak yang turut menjangkakan pusingan baharu keganasan terhadap Palestin.

Keutamaan kerajaan baharu pimpinan Netanyahu adalah mengembangkan penempatan di Tebing Barat dan pengumuman bahawa orang Yahudi mempunyai hak eksklusif ke atas semua tanah antara Sungai Jordan dan Laut Mediterranean menguatkan lagi usaha itu.

Penganalisis politik Gaza, Reham Odeh percaya perkara itu akan berlaku jika kerajaan Netanyahu bergerak ke hadapan dengan rancangannya untuk meluaskan penempatan dan berpotensi menggabungkan tanah Palestin.

“Jika kita melihat kepada anggota kerajaan, kita melihat pelampau dan peneroka dalam kalangan mereka yang sentiasa menyeru untuk menyerbu Masjid Al-Aqsa termasuk Menteri Keselamatan, Itamar Ben-Gvir. Oleh itu lebih banyak jangkaan adegan keganasan di Baitulmuqaddis dan Tebing Barat,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Hamas, Hazem Qassem berkata, dasar yang diisytiharkan Netanyahu memberi gambaran Palestin akan berdepan ketegangan besar dan kemungkinan berlaku konfrontasi.

“Terdapat kecenderungan untuk meningkatkan keganasan terhadap tahanan Palestin dan menambah lebih banyak sekatan kepada keadaan kehidupan termasuk kemungkinan menggubal dasar sekatan di sekitar Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis.

“Kita perlu mengamalkan dasar perpaduan Palestin untuk mempertahankan hak rakyat dan memajukan fail perdamaian Palestin,” tegas Hazem sambil menekankan kepentingan perpaduan antara masyarakat Palestin di Tebing Barat dan Gaza.

Bagi penganalisis politik, Azzam Abu al-Adass pula, kerajaan Netanyahu bukan sahaja memberi ancaman kepada rakyat Palestin tetapi juga kepada rakyat Israel berhaluan kiri dan sekular.

Perkara itu turut dipersetujui aktivis Gaza, Ahmed Abu Artema yang menyifatkan unsur paling berbahaya dalam kerajaan baharu adalah nada permusuhan yang tidak pernah berlaku sebelum ini termasuk daripada Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich yang akan menyelia pentadbiran penempatan haram di Tebing Barat.

“Masalah utama kami adalah dengan projek zionis itu sendiri yang berasaskan kepada memindahkan rakyat kami, menduduki tanah mereka, melakukan pembunuhan beramai-ramai, dan mengamalkan diskriminasi kaum tanpa mengira siapa yang mengetuainya,” kata Ahmed.-AGENSI

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN