Prawit Wongsuwan dipilih sebagai calon Perdana Menteri Thailand - Utusan Malaysia

Prawit Wongsuwan dipilih sebagai calon Perdana Menteri Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Parti pemerintah Thailand pro-tentera, Palang Pracharat memilih veteran politik dan bekas Ketua Tentera, Prawit Wongsuwon sebagai calon Perdana Menterinya, ketika parti-parti politik bersiap sedia untuk pilihan raya yang akan diadakan menjelang Mei ini.

Prawit yang kini memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, berkemungkinan akan menentang Paetongtarn Shinawatra dari Parti Pheu Thai yang juga merupakan anak perempuan bekas Perdana Menteri yang dibuang negeri, Thaksin Shinawatra.

“Beliau adalah nadi parti dan ahli kami, ahli Parlimen semuanya melihat beliau berbakat dan paling sesuai,” kata Timbalan Ketua Palang Pracharat, Paiboon Nititawan selepas mesyuarat parti tersebut.

Prawit, 77, juga mungkin berdepan dengan Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha, 68, yang telah menyertai Parti Bangsa Thai Bersatu dan membayangkan usaha untuk melanjutkan pemerintahannya sejak rampasan kuasa lapan tahun lalu.

Kedua-duanya adalah bekas ketua tentera yang sering merujuk antara satu sama lain sebagai saudara kerana masing-masing pernah berkhidmat dengan unit elit, Queen’s Guard.

Kedua-duanya juga terlibat dalam rampasan kuasa terhadap kerajaan yang dikawal oleh keluarga Shinawatra.

Dalam catatan di Facebook Rabu lalu, Prawit menegaskan, ahli politik perlu bekerjasama dengan semua pihak, bertolak ansur untuk mengurangkan konflik dan mematuhi kepentingan awam.

Walaupun berkongsi asas pilihan raya konservatif, beberapa pemerhati berkata, dua jeneral yang bertanding untuk parti berbeza boleh menjadi satu langkah strategik dan berfaedah dalam memastikan mereka kekal berkuasa.

“Terdapat kemungkinan besar mereka akan bekerjasama semasa dan selepas pengundian.

“Strategi ‘pecah dan takluk’ mungkin berhasil dengan parti Prawit mampu meraih undi di kawasan di mana Prayut mungkin tidak popular,” kata rakan kongsi penasihat hal ehwal kerajaan Maverick Consulting Group, Ben Kiatkwankul.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya