Pemimpin dunia kecam serangan penunjuk perasaan di Brazil - Utusan Malaysia

Pemimpin dunia kecam serangan penunjuk perasaan di Brazil

PENYOKONG bekas Presiden Brazil Jair Bolsonaro mengadakan tunjuk perasaan di Esplanada dos Ministerios di Brasilia.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pemimpin di seluruh dunia mengecam serangan oleh penyokong bekas presiden Brazil, Jair Bolsonaro yang merusuh dan menceroboh bangunan Kongres, Mahkamah Agung, Istana Presiden dan kementerian di ibu kota Brasilia kelmarin.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyifatkan kejadian itu sebagai keterlaluan dan turut menyatakan sokongan kepada Presiden baharu Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva yang menewaskan Bolsonaro pada pilihan raya Presiden.

“Kami mengecam serangan terhadap demokrasi dan peralihan kuasa secara aman di Brazil. Institusi demokrasi Brazil mendapat sokongan penuh kami dan kehendak rakyat Brazil tidak boleh digugat. Saya berharap untuk terus bekerjasama dengan Lula,” tegas Biden di laman Twitter.

Presiden Argentina, Alberto Fernandez turut menyatakan sokongan kepada Lula dan mengutuk cubaan rampasan kuasa yang dilakukan oleh penyokong Bolsonaro.

Sementara itu, pemimpin lain dari Chile, Colombia, Venezuela, Itali dan Bolivia turut menyatakan rasa kesal dengan tindakan itu termasuk Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang tampil memberikan sokongan kepada Lula yang sudah memegang jawatan sebagai Presiden baharu Brazil seminggu lalu.

Pegawai Tertinggi Hal Ehwal Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell juga terkejut dengan tindakan keganasan yang tercetus di Brasilia itu. 

Presiden Lula tiada di ibu kota kerana sedang melakukan lawatan ke Sao Paulo.

Beliau mengisytiharkan campur tangan pasukan keselamatan persekutuan di Brasilia dan berjanji akan menghukum mereka yang terbabit dalam insiden itu.

Presiden Lula juga menuduh beberapa ucapan Bolsonaro menggalakkan penyokongnya melakukan rusuhan itu.

“Tiada kepentingan untuk apa yang mereka lakukan dan mereka ini perlu dihukum,” kata Lula.

Bolsonaro yang terbang ke Florida menjelang pelantikan Lula bagaimanapun enggan mengulas mengenai kekecohan itu.

Kongres Brazil tidak mempunyai kakitangan kerana kejadian berlaku pada hujung minggu.

Lautan ‘bolsonarista’ berpakaian kuning dan hijau memecahkan tingkap serta memusnahkan peralatan ketika mereka menyerbu masuk ke dalam bangunan Kongres untuk menuntut campur tangan tentera.

“Kami mahu angkatan bersenjata mengambil alih kuasa dan membersihkan Kongres serta melakukan pembersihan umum,” laung salah seorang penunjuk perasaan.

Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata kepada kumpulan perusuh dan berjaya mengawal semula bangunan berkenaan sekitar empat jam selepas serangan itu.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya