Jokowi kesal pencabulan hak asasi di Indonesia - Utusan Malaysia

Jokowi kesal pencabulan hak asasi di Indonesia

JOKO WIDODO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menyatakan kekesalan terhadap pencabulan hak asasi manusia besar-besaran yang dilakukan pada masa lalu di negara itu, termasuk pembunuhan antikomunis yang ganas pada 1960-an dan kehilangan pelajar yang menyertai tunjuk perasaan pada akhir 1990-an.

Lebih setengah juta penyokong berhaluan kiri dibunuh beramai-ramai di seluruh negara pada pertengahan 1960-an ketika pemerintahan panjang diktator Suharto yang mengekalkan pendirian antikomunisnya berdekad lama.

Pembunuhan itu membawa kepada kejatuhan Parti Komunis Indonesia (PKI) yang kini diharamkan dan pernah menjadi antara yang terbesar di dunia selepas China dan Kesatuan Soviet.

“Dengan hati yang ikhlas, saya sebagai pemimpin negara ini, mengakui pelanggaran hak asasi manusia yang telah berlaku dalam beberapa insiden dan saya amat kesal dengan perkara itu.

“Saya menzahirkan rasa simpati dan empati terhadap mangsa dan keluarga mereka,” kata Jokowi dalam ucapan di istana negara di Jakarta.

Jokowi berkata, kerajaan akan berusaha memulihkan hak mangsa tanpa menafikan resolusi kehakiman namun beliau tidak menjelaskan bagaimana perkara itu akan dilaksanakan.

Presiden juga menyebut mengenai pembunuhan dan penculikan berpuluh-puluh pelajar dan aktivis yang menyertai perhimpunan jalanan besar-besaran pada tahun 1998 yang menggulingkan pemerintahan diktator Suharto selama tiga dekad.

Pemimpin Indonesia itu turut menyenaraikan 10 pelanggaran lain yang berlaku antara 1960-an dan awal 2000-an sebelum beliau memegang tampok pemerintahan kuasa, berdasarkan penemuan suruhanjaya yang diperintahkan untuk menyiasat pelanggaran itu tahun lalu.

Beliau mengakui berlaku pencabulan hak di wilayah timur Papua yang bergolak, termasuk operasi tentera dan polis pada tahun 2003 yang menyebabkan puluhan orang awam terbunuh dan pegawai dituduh membunuh, menyeksa dan menculik.

Papua berdepan pemberontakan selama berdekad-dekad bagi menuntut kemerdekaan selepas Indonesia menguasai bekas tanah jajahan Belanda itu pada 1960-an.

Dalam pada itu, kumpulan hak asasi manusia berkata, luahan kekesalan Jokowi seperti beberapa pemimpin Indonesia lain sebelum beliau, tidak memberi banyak impak.

“Pengiktirafan itu tidak mencukupi. Ia sepatutnya bukan sahaja penyesalan tetapi juga permohonan maaf,” jelas Pengarah Amnesty International Indonesia, Usman Hamid sambil menambah kerajaan harus menyelesaikan pencabulan hak melalui mahkamah.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya