JAKARTA: Kerajaan Indonesia tidak pernah leka menangani rasuah, sebaliknya `bekerja secara senyap’ dalam usaha membanteras aktiviti jenayah itu.
Menteri Penyelaras Politik, Undang-Undang dan Hal Ehwal Keselamatan, Mahfud MD berkata, kes rasuah yang berleluasa adalah petanda wujudnya gangguan terhadap proses demokrasi.
Malah, dakwa beliau, usaha membanteras rasuah tidak mudah dicapai sejak dahulu lagi disebabkan negara berdepan masalah judicial mafia (mafia kehakiman).
“Kes mahkamah masih dipenuhi masalah ini. Sebelum era Perintah Baharu ia dipanggil mafia kehakiman namun semasa zaman Susilo Bambang Yudhoyono pula nama itu diubah kepada mafia sah,” katanya sepertimana dilaporkan portal Antara.
Jelas beliau, mafia kehakiman kemudian menjadi sah kerana wujud dalam semua sektor berkaitan undang-undang.
“Jadi, individu yang menggubal undang-undang, pihak melaksanakannya serta membuat penghakiman adalah korup,” katanya.
Tambah beliau, gejala rasuah tidak mudah dibasmi kerana konfigurasi politik yang wujud daripada sistem demokrasi.
“Sebagai contoh, rasuah bermula daripada ahli politik yang dipilih secara demokratik dan ia kadang kala juga dieksploitasi melalui pendekatan demokrasi,” katanya.
Mahfud mendakwa wujudnya campur tangan politik menerusi demokrasi.
“Misalnya, ahli Parlimen menggesa individu tertentu dibebaskan atau menyerahkan projek kepada pihak berkaitan atau memberi tekanan kepada pegawai penguatkuasa undang-undang untuk mengambil sesuatu tindakan,” katanya.
Bagaimanapun, Mahfud berpandangan sistem demokrasi masih merupakan garis panduan terbaik untuk tadbir urus.
Justeru, beliau berharap, konfigurasi politik yang mengganggu itu perlu ditangani.