Enggan terima kekalahan, Bolsonaro terbang ke AS - Utusan Malaysia

Enggan terima kekalahan, Bolsonaro terbang ke AS

JAIR BOLSONARO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAO PAOLO: Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro terbang ke Amerika Syarikat (AS) untuk mengelak menghadiri majlis pelantikan Presiden baharu, Luiz Inacio Lula da Silva yang mengalahkannya dalam pilihan raya Oktober lalu.

Bolsonaro meninggalkan Brazil Jumaat lalu dan dilaporkan terbang ke Florida selepas memberikan ucapan terakhir kepada pengikutnya yang mendesak untuk rampasan kuasa tentera berikutan kekalahannya.

Pemimpin sayap kanan itu tidak kelihatan di khalayak selepas keputusan pilihan raya diumumkan dan rancangannya untuk masa depan selepas tiba di AS juga masih tidak jelas.

Timbalan Presiden, Hamilton Mourao yang menjadi pemangku Presiden mengesahkan Bolsonaro telah meninggalkan negara itu. 

Pemergiannya diiringi ucapan terakhir yang penuh emosi di media sosial kelmarin apabila beliau menceritakan peristiwa penting ketika memegang jawatan itu dan usahanya mempertahankan legasi.

Malah dalam ucapan itu, Bolsonaro cuba memberi inspirasi kepada pengikutnya untuk meneruskan perjuangan menentang Lula.

“Saya dalam penerbangan, akan pulang tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik oleh CNN Brazil 

Bolsonaro sebelum ini berulang kali menyatakan beliau tidak mahu menyerahkan selempang Presiden kepada Lula ketika majlis pelantikan yang jelas melanggar tradisi demokrasi di negara itu.

Beliau juga mungkin berdepan tindakan undang-undang di Brazil kerana imuniti presidennya tamat sebaik Lula menyandang jawatan itu.

Selama bertahun-tahun, Bolsonaro menyebarkan retorik anti demokrasi dan menimbulkan keraguan tentang integriti sistem pilihan raya Brazil termasuk membayangkan bahawa beliau enggan berundur jika kalah dalam pilihan raya menentang pesaing sayap kiri.

Menjelang upacara angkat sumpah Lula, pihak berkuasa mengambil langkah berjaga-jaga termasuk larangan sementara senjata api di ibu negara, ketika peralihan kuasa berlaku di tengah-tengah ketegangan yang memuncak dan kebimbangan terhadap potensi keganasan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya