Bali destinasi kedua paling popular di dunia - Utusan Malaysia

Bali destinasi kedua paling popular di dunia

BALI berjaya mengatasi beberapa destinasi terkenal lain seperti Paris dan London.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Sandiaga Salahuddin Uno mengumumkan Bali berjaya menduduki tempat kedua sebagai 10 destinasi paling popular di dunia berdasarkan penilaian terbaharu laman web pelancongan, Trip Advisor.

Jelas Sandiaga, Bali sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya mengatasi beberapa destinasi terkenal lain di Eropah seperti Paris dan London dalam Anugerah Pilihan Pengembara untuk kategori destinasi.

“Bali berjaya naik dua anak tangga. Tahun lepas berada di kedudukan keempat,” kata Sandiaga menerusi temu bual dalam talian yang dipetik portal Antara News.

Sandiaga menjelaskan, salah satu petunjuk penilaian dalam anugerah itu ialah kualiti dan kuantiti ulasan positif terhadap destinasi tersebut sepanjang tempoh November 2021 hingga Disember 2022.

“Petunjuk penarafan untuk Anugerah Pilihan Pengembara ialah kualiti dan kuantiti ulasan sepanjang tahun. 

“Itulah sebabnya saya tidak pernah membiarkan walaupun sedikit ulasan negatif tentang pelancongan Bali atau Indonesia. Kerana inilah hasilnya,” katanya.

Sandiaga turut berharap lima destinasi keutamaan Indonesia yang lain juga mampu tersenarai dalam kelompok 10 teratas dan akan berusaha supaya Bali boleh menjadi destinasi nombor satu paling popular di dunia pada tahun akan datang.

Tempat pertama anugerah tersebut diungguli Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE). 

London di United Kingdom (UK) berada di tempat ketiga sementara Rom di Itali di tempat keempat, diikuti Paris di Perancis yang menduduki tempat kelima.

Bandar Cancun di Mexico berada di tempat keenam, kemudian Crete di Greece, Marrakech di Maghribi, Republik Dominican dan akhir sekali Istanbul di Turkiye berada di tempat kesepuluh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya