SINGAPURA: Sejumlah sos pasta carbonara jenama Prego ditarik balik penjualannya di republik ini berikutan mengalami ‘kerosakan’.
Menurut Agensi Makanan Singapura (SFA), perkara itu dimaklumkan oleh Kumpulan The Arnott’s yang menjelaskan kerosakan produk berkenaan diakibatkan oleh ‘kesilapan dalam pembuatan’ melibatkan sos pasta bersaiz 665 gram.
Produk yang terjejas dengan nombor lot 2022081716, dikeluarkan pada 17 Ogos dari pukul 10.18 malam hingga 11.20 malam.
Kesemua produk berkenaan mempunyai tarikh luput 17 Ogos 2023.
Produk yang berasal dari Malaysia itu mungkin menunjukkan tanda-tanda kerosakan seperti bau yang tidak menyenangkang, warna luar biasa, struktur berair dan lapisan cecair yang terpisah.
Tambah SFA, pengimport Campbell Soup Asia tenggara (cawangan Singapura) sudah diarahkan untuk menarik balik kesemua produk yang terjejas tersebut.
“Pengguna yang sudah terbeli produk yang terlibat itu tidak seharunya menggunakannya.
“Bagi mereka yang sudah menggunakannya dan mengalami gejala tidak sihat, mereka perlu segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan,” jelas SFA.
Selain itu, para pengguna boleh menghubungi tempat pembelian untuk meklumat lanjut.