Selulit kurangkan risiko strok, demensia - Utusan Malaysia

Selulit kurangkan risiko strok, demensia

WANITA memiliki lemak berlebihan di bahagian peha, pinggul dan punggung didakwa mempunyai perlindungan tambahan terhadap penyakit demensia dan strok. - AFP  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Satu kajian baharu mendakwa wanita yang memiliki lemak berlebihan di bahagian peha, pinggul dan punggung mempunyai perlindungan tambahan terhadap penyakit demensia dan strok.  

Lapor Daily Mail, beberapa ujian makmal dilakukan ke atas tikus menunjukkan lemak subkutaneus, yang terletak di bawah jaringan kulit dan menyebabkan selulit, mampu melindungi daripada masalah berkaitan keradangan termasuk penyakit jantung.

Sekumpulan penyelidik mendapati tikus betina yang mempunyai tahap lemak subkutaneus tinggi, mengalami keradangan otak lebih rendah berbanding tikus jantan.

Bagaimanapun, tahap keradangan tikus betina itu meningkat selepas menjalani proses sedut lemak.

“Para penyelidik tidak pasti mengapa lemak subkutaneus itu seolah-olah bertindak sebagai pelindung lemak.

“Tetapi, kajian sebelum ini mengaitkannya dengan hormon estrogen yang bertindak sebagai anti-radang semula jadi,” jelas laporan itu.

Bagaimanapun, kajian baharu itu tidak mencadangkan bahawa wanita perlu menambah berat badan mereka dengan sengaja kerana banyak kajian lain menunjukkan obesiti mampu meningkatkan risiko penyakit kronik seperti demensia, strok dan penyakit jantung.

Selain itu, kajian itu mendedahkan golongan lelaki lebih cenderung mempunyai lemak di sekitar organ dalam badan mereka yang dikenali sebagai lemak viseral.

“Faktor itu antara sebabnya mengapa lelaki mempunyai risiko lebih tinggi bagi masalah berkaitan keradangan termasuk serangan jantung hingga strok berbanding wanita pra-menopause,” jelas laporan itu.  

Kajian baharu itu diterbitkan dalam jurnal Diabetes.

Dalam kajian itu, saintis dari Universiti Augusta di Georgia dan penyelidik meneliti peningkatan jumlah dan bahagian tisu lemak terkumpul pada tikus jantan dan betina.   

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN