Selepas peluru berpandu, Korea Utara bangunkan satelit pengintip

Selepas peluru berpandu, Korea Utara bangunkan satelit pengintip

SEBUAH roket membawa satelit eksperimen ketika dilancarkan dari Tapak Pelancaran Satelit Sohae di Tongchang-ri. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Media rasmi kerajaan Korea Utara melaporkan negara itu menjalankan ‘ujian fasa terakhir yang penting’ membabitkan pembangunan satelit pengintip.

Lapor agensi berita KCNA, satelit pengintip itu dijangka siap menjelang April tahun depan.

Laporan itu dikeluarkan sehari selepas tentera Korea Selatan dan Jepun memaklumkan Pyongyang melancarkan dua peluru berpandu balistik jarak sederhana ke arah pantai timur Semenanjung Korea.

Menurut laporan KCNA, Pentadbiran Pembangunan Aeroangkasa Nasional Korea Utara (NADA) menjalankan ujian itu di stesen pelancaran satelit Sohae bagi meneliti keupayaan pengimejan satelit, pemindahan data dan sistem kawalan dari bumi.

Sebuah kenderaan yang membawa satelit eksperimen yang turut dilengkapi beberapa kamera, penghantar dan penerima imej, alat kawalan serta bateri simpanan, dilancarkan dari sudut tinggi sejauh 500 kilometer (km).

“Kami mengesahkan penanda aras teknikal penting seperti teknologi operasi kamera dalam persekitaran angkasa, pemprosesan data dan keupayaan penyampaian alat komunikasi, pengesanan serta sistem kawalan darat,” kata jurucakap NADA.

Jurucakap NADA turut menyifatkan ujian tersebut sebagai ‘kemasukan ke proses akhir pelancaran satelit pengintip’ yang dijangka siap sepenuhnya menjelang April.

KCNA turut menyiarkan dua imej hitam putih, beresolusi rendah memaparkan Seoul dan bandar pelabuhan berhampiran, Incheon yang dirakam semasa pelancaran semalam.

Korea Utara direkodkan melancarkan sejumlah besar ujian peluru berpandu pada tahun ini.

Pelancaran ujian itu termasuk peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang direka untuk sampai ke Amerika Syarikat (AS), yang didakwa melanggar sekatan antarabangsa.

Pada Jumaat lalu, Korea Utara menguji enjin bahan api pepejal tujahan tinggi.

Para pakar menyifatkannya sebagai mampu memudahkan pelancaran peluru berpandu balistik secara lebih pantas dan bebas bergerak, dalam usaha membangunkan senjata strategik yang baharu dan mempercepat program senjata nuklear negara itu.

Sebelum ini, Pyongyang pernah menguji sistem satelit ketika beberapa pelancaran roket.

Malah, pemerintah Korea Utara, Kim Jong Un pernah memaklumkan satelit pengintip itu dibangunkan bagi memperoleh maklumat masa nyata mengenai aktiviti ketenteraan AS dan sekutunya.

KECAM UJIAN PELANCARAN

Dalam pada itu, pejabat presiden Korea Selatan mengutuk sekeras-kerasnya ujian pelancaran peluru berpandu terbaharu Pyongyang.

Menurut pejabat presiden dalam satu kenyataan, provokasi berterusan serta pembangunan senjata nuklear dan peluru berpandu hanya akan membahayakan rejim sendiri.

Semalam, Ketua Staf Bersama Korea Selatan (JCS) berkata, pihaknya mengesan dua peluru berpandu balistik jarak sederhana yang dilancarkan dari kawasan Tongchang-ri di wilayah Utara Pyongan.

Jelas JCS dalam kenyataan, dua peluru berpandu jarak itu terbang sejauh kira-kira 500km.

“Peluru berpandu itu dilancarkan dari pukul 11.13 pagi hingga 12.05 tengahari (waktu tempatan) ke Laut Timur,” jelas kenyataan itu.

JCS memaklumkan pihak berkuasa perisikan Korea Selatan dan AS sedang menjalankan analisis menyeluruh, mengambil kira trend terkini berkaitan pembangunan peluru berpandu Korea Utara. – REUTERS/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN