Piala Dunia: Maghribi satukan benua Arab

Piala Dunia: Maghribi satukan benua Arab

PEMINAT bola sepak mengibarkan bendera Maghribi ketika meraikan kemenangan negara itu melangkah ke separuh akhir Piala Dunia di Semenanjung Gaza, Palestin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RABAT: Kejayaan pasukan bola sepak Maghribi mengalahkan Portugal dalam Piala Dunia Qatar untuk layak masuk ke separuh akhir mencetuskan pelbagai reaksi daripada penduduk seluruh dunia, termasuk negara-negara Arab.

Pencapaian itu menyaksikan Maghribi menjadi negara Arab dan Afrika pertama yang melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Dunia dalam tempoh 92 tahun sejarah kejohanan dunia tersebut.

Di Casablanca, iaitu bandar pelabuhan di barat Maghribi, ribuan penduduk bersorak dan berarak di sekitar jalan utama bagi meraikan kejayaan tersebut.

“Suasana ketika ini amat meriah. Orang ramai saling menyanyi dan menari kegembiraan.

“Biarpun ramai rakyat negara ini terbang ke Qatar untuk menyaksikan Piala Dunia, Maghribi tetap meriah dengan sambuatan yang diraikan,” lapor responden Al-Jazeera di Casablanca, Nicolas Haque.

Selain itu, ketua pengarah laman web berita berbahasa Inggeris, Morocco World News, Adnane Bennis berkata, tiada kata-kata yang boleh diungkapkan atau ditulis untuk menggambarkan rasa gembira dan syukur selepas pasukan bola sepak negara ini mengalahkan Portugal.

Katanya, kejayaan itu amat besar dan jika Maghribi tidak menang sekali pun di peringkat seterusnya, negara ini tetap akan diingati sebagai satu daripada negara yang mampu melahirkan pemain bola sepak berkualiti tinggi.

“Kemenangan ini amat bermakna untuk Maghribi dan semua rakyat negara ini. Kami sentiasa percaya akan kebolehan kami, keupayaan pasukan kami.

“Impian kami masih hidup, perjalanan kami masih jauh dan kami semakin hampir untuk memenangi Piala Dunia,” ujarnya.

SAMBUTAN DI GAZA

Biarpun kesengsaraan ditindas Zionis tidak berakhir, rakyat Palestin di Semenanjung Gaza juga tidak melepaskan peluang untuk meraikan kejayaan Maghribi.

Responden Al-Jazeera di Gaza, Youmna Elsayed berkata, orang ramai bersorak kegembiraan, bertepuk tangan, bermain dram dan menyanyi selepas Maghribi memenangi perlawanan itu.

“Puluhan peminat bola sepak di Gaza yang kami temukan memberitahu, perlawanan itu amat penting buat mereka.

“Pada mereka, kejayaan itu merupakan kejayaan untuk seluruh negara Arab, biarpun rakyat Palestin terus ditindas Israel, kemenangan Maghribi menjadi sedikit pengubat untuk kesengsaraan mereka,” ujar Youmna.

ARAB SERBA BOLEH

Bagi Hussein yang merupakan rakyat Bahrain, keupayaan Maghribi untuk melangkah ke separuh akhir Piala Dunia menunjukkan dunia Arab serba boleh, setaraf dengan komuniti antarabangsa yang lain.

“Saya amat gembira kerana ini kali pertama Piala Dunia diadakan di negara Arab dan kini ada pasukan Arab masuk ke peringkat separuh akhir buat kali pertama,” jelasnya.

Di Iraq pula, orang ramai terus meraikan kejayaan Maghribi sepanjang malam dan menzahirkan harapan negara itu mampu membuat kejutan di peringkat seterusnya.

“Mereka sifatkan kejayaan itu sebagai simbolik penuh makna untuk benua Afrika, negara Arab dan rantau Asia Barat.

“Malahan, orang ramai memberitahu kejayaan itu seperti Iraq yang bermain dalam Piala Dunia,” kata responden Al-Jazeera di Baghdad, Mahmoud Abdelwahed.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya