Pergolakan politik di Peru: Ribuan pelancong terkandas - Utusan Malaysia

Pergolakan politik di Peru: Ribuan pelancong terkandas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CUSCO: Kongres Peru menolak langkah untuk mengadakan pilihan raya umum negara itu lebih awal ketika protes ganas mengakibatkan ribuan pelancong terkandas di bandar ke Machu Picchu.

Penunjuk perasaan menuntut pembebasan Presiden, Pedro Castillo dan peletakan jawatan penggantinya, Dina Boluarte serta pilihan raya baharu diadakan di negara.

Namun, Kongres mengundi menentang satu rang undang-undang untuk membolehkan pilihan raya umum diadakan dua tahun lebih awal iaitu dari tahun 2026 dibawa ke Disember 2023.

Kongres memerlukan 87 undi untuk diluluskan, namun undian semalam hanya memperoleh 49 yang menyokong dengan 33 menentang dan 25 berkecuali.

Keputusan itu dibuat ketika demonstrasi dan angka kematian terus meningkat selepas penunjuk perasaan cuba menyerbu lapangan terbang di bandar selatan Ayacucho yang dikawal oleh tentera pada Khamis lalu.

Dalam pada itu, Datuk Bandar berhampiran Machu Pichu, Darwin Baca berkata, kira-kira 5,000 pelancong terkandas di Cusco.

Katanya, pelancong berkenaan kini sedang berada di hotel masing-masing menunggu penerbangan beroperasi semula.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Rosa Gutierrez berkata, seramai 18 orang terbunuh dalam pertempuran sejak Castillo ditahan pada 7 Disember lalu.

Dua menteri Kabinet pula dilaporkan meletak jawatan sebagai protes atas kematian itu.

Peru dilanda pergolakan politik minggu lalu selepas Castillo didakwa dan ditahan berikutan percubaannya untuk membubarkan Parlimen dan memerintah melalui dekri.

Castillo pada mulanya ditahan selama tujuh hari, namun diperintahkan menghabiskan 18 bulan dalam tahanan praperbicaraan.

Pendakwa Raya, Alcides Diaz berkata, Castillo didakwa melakukan pemberontakan dan konspirasi, dan boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun jika didapati bersalah.

Boluarte mengisytiharkan darurat di seluruh negara selama 30 hari dan menyatakan beliau akan berusaha mengadakan pilihan raya lebih awal. – AFP.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN