DHAKA: Puluhan ribu penyokong parti pembangkang utama Bangladesh berhimpun di Dhaka untuk membantah kerajaan Perdana Menteri, Sheikh Hasina dan menuntut pilihan raya baharu.
Kumpulan penunjuk perasaan melaungkan slogan ‘Syeikh Hasina adalah pencuri undi’ di padang sukan Golapbagh di mana tempat perhimpunan itu diadakan dengan orang ramai membanjiri jalan-jalan sekitar.
Ketegangan memuncak di ibu negara selepas pasukan keselamatan menyerbu ibu pejabat pembangkang Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) Selasa lalu, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut dan puluhan cedera.
Dua daripada pemimpin tertinggi parti itu ditahan semalam atas tuduhan menghasut keganasan dan parti tu mendakwa lebih 2,000 aktivis dan penyokongnya telah ditahan sejak 30 November lalu bagi menghalang perhimpunan itu daripada diteruskan.
Kerajaan Barat bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan kebimbangan terhadap iklim politik di Bangladesh, salah satu ekonomi yang paling pesat berkembang di Asia.
Negara itu telah lama sejajar dengan Amerika Syarikat (AS) tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Hasina telah menjalin hubungan yang lebih erat dengan China, selepas Beijing membiayai beberapa projek infrastrukturnya yang bernilai berbilion dolar.
Kumpulan pembangkang mengadakan protes di seluruh negara menuntut Hasina meletakkan jawatan dan mengadakan pilihan raya di bawah kerajaan sementara namun ditolak oleh Hasina.
Seorang pegawai BNP mendakwa bahawa kira-kira 200,000 orang menyertai perhimpunan di Dhaka hari ini.
“Tuntutan utama kami ialah Hasina meletakkan jawatan dan Parlimen dibubarkan dan membiarkan kerajaan sementara yang berkecuali bertindak untuk mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil,” kata jurucakap, Zahiruddin Swapan kepada AFP.
Jurucakap Polis Metropolitan Dhaka, Faruq Ahmed menolak angka itu dan berkata tempat itu tidak boleh memuatkan lebih daripada 30,000 orang.-AFP