London bandar paling bahaya di Britain

London bandar paling bahaya di Britain

ANGGOTA polis berkawal di pekarangan luar kedai di East Ham, timur London semasa serangan pisau pada 2017.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Sejumlah 13,405 insiden melibatkan serangan menggunakan pisau berlaku dalam tempoh 12 bulan dengan London paling banyak merekodkan jenayah tersebut.

Angka itu didedahkan oleh pihak Polis Metropolitan dengan mendapati antara tempoh Oktober tahun lalu hingga Jun lalu, sebanyak 49,991 jenayah tikaman yang tidak menyebabkan kematian direkodkan di seluruh England dan Wales.

Jumlah tersebut bersamaan 136 insiden setiap hari seperti dikongsikan oleh Pejabat Statistik Negara.

Dalam tempoh itu, jenayah melibatkan pisau dilaporkan meningkat dari 10,605 kepada 11,232 kes dengan perbandingan 125 insiden bagi setiap 100,000 populasi.

Hasil siasatan daripada 679 kes bunuh diri di England dan Wales dalam tempoh tersebut, sebanyak 38 peratus adalah kes melibatkan serangan menggunakan pisau atau objek tajam lain.

Bagaimanapun, data tersebut tidak merangkumi kes pembunuhan berprofil tinggi yang berlaku di kota raya itu sejak beberapa bulan lalu.

Data yang diperoleh antara Jun hingga November lalu, mendapati sebanyak 6,843 jenayah melibatkan pisau dengan 1,973 daripadanya menyebabkan kecederaan atau kematian.

Pusat bandar Westminster menyaksikan kadar serangan tertinggi mengikut jumlah populasi dengan 253 kes sejak Jun lalu, bersamaan satu insiden bagi 1,000 penduduk, sekali gus merekodkan sebagai kawasan paling berbahaya di London.

Southwark merekodkan 273 kes; Islington (120); Greenwich (113), serta Kensington dan Chelsea (89).

Bandar Bromley, Kingston, Thames dan Richmond pula menyaksikan kadar jenayah paling rendah di London.

Ogos merupakan bulan paling berbahaya melibatkan serangan tersebut dengan 1,125 kes dicatatkan berbanding Februari iaitu 850 kes.

Awal tahun lalu, Datuk Bandar London, Sadiq Khan mendedahkan hampir suku daripada semua kes pembunuhan serta suku jenayah tembakan di London mempunyai kaitan dengan gangster berkumpulan.

Namun, katanya, serangan pisau yang semakin meluas dalam komuniti bukan melibatkan suspek berkumpulan semata-mata.

Kajian turut mendapati golongan muda dan ahli gangster lelaki merupakan individu paling banyak membawa pisau di London.

Berbanding di luar kota London, jenayah tikaman di West Midlands menyaksikan peningkatan dari 3,299 kepada 4,958 kes bersamaan 169 kes bagi 100,000 populasi.

Greater Manchester pula merekodkan peningkatan daripada 3,297 kepada 3,563 kes.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya