NEW DELHI: Kementerian Kesihatan Uzbekistan mengesahkan sekurang-kurangnya 18 kanak-kanak meninggal dunia selepas didapati mengambil sirap ubat yang dikeluarkan oleh pembuat ubat-ubatan India, Marion Biotech Pvt Ltd.
Jelas kementerian itu, 18 daripada 21 kanak-kanak terbabit yang meminum sirap Doc-1 Max mengalami penyakit respiratori akut, lalu meninggal dunia selepas menggunakan ubat itu.
Mengikut laman web firma berkenaan, ubat itu dipasarkan sebagai rawatan untuk gejala demam dan selesema.
Kelompok sirap itu mengandungi Ethylene Glycol yang dimaklumkan oleh kementerian sebagai bahan toksik.
Sirap itu diimport ke Uzbekistan oleh syarikat Quramax Medical LCC, jelas kementerian itu dalam kenyataan yang dikeluarkan kelmarin.
Menjelaskan keadaan yang berlaku terhadap kanak-kanak terbabit, kementerian berkata sirap ubat itu diberikan kepada mereka di rumah tanpa preskripsi doktor sama ada oleh ibu bapa atau atas nasihat ahli farmasi.
Dos yang diambil oleh kanak-kanak berkenaan melebihi dos standard ditetapkan untuk golongan itu.
Bagaimanapun, tidak jelas sama sama ada semua atau kanak-kanak tertentu meminum sirap ubat daripada kelompok suspek atau mengambil lebih daripada ketetapan dos standard atau kedua-dua sekali.
Susulan tragedi itu, Marion Biotech, Quramax Medical dan Kementerian Kesihatan India tidak segera memberi maklumbalas terhadap permohonan Reuters untuk mendapatkan penjelasan.
India kelmarin melancarkan pemeriksaan terhadap beberapa kilang ubat di seluruh negara itu, untuk memastikan pematuhan standard kualiti yang tinggi.
Tragedi di Uzbekistan itu menyusuli kejadian serupa di Gambia, di mana berlaku kematian membabitkan sekurang-kurangnya 70 kanak-kanak kerana meminum sirap ubat batuk dan selesema yang dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal yang berpangkalan di New Delhi, Maiden Pharmaceuticals Ltd.
Kerajaan India dan syarikat terbabit menafikan ubat berkenaan menjadi punca kematian. – REUTERS