Kepala babi dilempar atas bumbung masjid di UK - Utusan Malaysia

Kepala babi dilempar atas bumbung masjid di UK

KEPALA babi ditemukan di bangunan Heatons Muslims Community Trust (HMCT) di Heaton Mersey, Stockport di Greater Manchester. - AGENSI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Penduduk Islam khuatir bakal menjadi sasaran jenayah kebencian selepas kepala babi dilemparkan ke atas bumbung sebuah masjid di Greater Manchester, United Kingdom (UK).  

Lapor metro.co.uk, kepala babi itu ditemukan kira-kira pukul 9.15 malam (waktu tempatan) Jumaat lalu di bangunan Heatons Muslims Community Trust (HMCT) di Heaton Mersey, Stockport.

Bangunan tersebut turut menempatkan sebuah masjid dan pusat komuniti untuk masyarakat Islam.

Kepala babi itu mudah dilihat kerana ia ditemukan di bahagian rendah dan rata bumbung bangunan.

Malah, kejadian itu dilaporkan kepada polis yang memfailkan kes itu sebagai jenayah kebencian Islamofobia.

Pemegang amanah HMCT, Muhammad Tayyab Mohiuddin berkata, pihaknya dimaklumkan oleh individu mengenai penemuan kepala babi di atas bumbung ketika mengadakan pertemuan di pusat komuniti berkenaan pada waktu petang.   

“Bumbung itu pendek, jadi ia mudah dilihat. Saya rasa ada pihak yang sengaja memilih tempat ini untuk menakutkan orang ramai. Semua tahu seseorang meletakkannya di sana dan apakah niat mereka? 

“Dalam agama Islam, kami tidak dibenarkan makan daging babi atau mengendalikannya dengan apa jua cara sekalipun, jadi, pihak itu melakukannya atas sebab itu.

“Ramai warga emas dan kanak-kanak mengunjungi pusat ibadat ini, sudah tentu mereka agak ketakutan apabila ada pihak menyasarkan kami dan bimbang sekiranya individu itu mampu mengambil langkah keterlaluan pada masa hadapan,” katanya. 

Tambah beliau, pusat komuniti itu yang berusia sekitar sedekad, tidak pernah mengalami sebarang isu kecuali dua kes pecah masuk pada tahun lalu yang mana televisyen dan peti sumbangan dicuri dalam kejadian tersebut.    

Menurut Muhammad Tayyab, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan sebuah kereta berhenti dan dua orang keluar daripada kenderaan itu dengan seorang daripadanya membawa beg sampah. 

Jelasnya, nombor plat kenderaan itu dirakam pada kamera, justeru beliau berharap agar polis dapat mengesan individu yang melakukan perbuatan itu.  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.