WASHINGTON: Jangka hayat sebuah kenderaan robotik milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) bakal berakhir pada bila-bila masa berikutan keadaan cuaca ekstrem di planet Marikh.
Lapor The Guardian, kenderaan robotik dikenali sebagai InSight dikatakan menyampaikan mesej terakhir dari Marikh.
Satu mesej dimuat naik di akaun Twitter NASA InSight tertera, jangka hayat kenderaan robotik itu kini semakin berkurangan, justeru ia mungkin menjadi imej terakhir yang dihantar.
“Jangan bimbang mengenai saya, sepanjang masa saya berada di sini adalah produktif dan tenang.
“Sekiranya saya boleh terus berkomunikasi dengan pasukan misi, saya akan melakukan demikian.
“Namun, jangka hayat saya di sini akan berakhir tidak lama lagi. Terima kasih kerana sentiasa bersama saya,” jelas mesej itu.
Kenderaan robotik yang dilengkapi dengan alat pemantau gempa, mendarat di kawasan Elysium Planitia di planet Marikh pada November 2018.
Sejak pendaratan itu, kenderaan robotik itu sudah menjalankan penggalian geologi, melakukan ukuran pertama gempa bumi menggunakan seismometer berteknologi tinggi yang diletakkan langsung di permukaan Marikh.
InSight dibangunkan untuk mendengar gempa dan gegaran sebagai cara merungkai misteri planet merah tersebut dan bagaimana ia terbentuk sejak berbilion tahun lalu.
Berdasarkan laporan misi yang diterbitkan, sejak InSight dikerahkan, ia sudah mengukur lebih 1,300 kejadian seismik, malah lebih 50 daripadanya mempunyai isyarat cukup jelas bagi pasukan memperoleh maklumat mengenai lokasi kenderaan itu di Marikh.
Bulan lalu, NASA memberi amaran jangka hayat kenderaan robotik itu mungkin akan berakhir disebabkan debu menyelubungi dan mengganggu Insight.