SINGAPURA: Gesaan Presiden Singapura, Halimah Yacob agar perogol berusia 50 tahun ke atas tidak dikecualikan daripada dikenakan hukuman sebat, mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan.
Malah, Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Penyelidikan (AWARE) turut menyuarakan bantahan terhadap hukuman sebat itu.
Sebaliknya, Presiden Pertubuhan Undang-undang Singapura (LawSoc), Adrian Tan menyifatkan individu yang `cukup cergas’ untuk merogol sepatutnya wajar dikenakan sebatan dengan rotan.
Di bawah Kanun Prosedur Jenayah Singapura, hanya golongan lelaki berusia bawah 50 tahun boleh dikenakan hukuman sebat jika didapati sihat selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.
Baru-baru ini, Halimah menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan mengenai lonjakan kes rogol membabitkan kanak-kanak di rumah sendiri oleh saudara-mara.
Beliau turut menyifatkan kes berkenaan sebagai amat ‘mengganggu dan memualkan’ serta semakin kerap dilaporkan.
“Kita perlu melihat cara-cara lain untuk membantu kanak-kanak dan menghalang mereka daripada menjadi mangsa perogol sedemikian,” katanya.
Jelas Halimah, pertubuhan seperti PAVE boleh bekerjasama dengan agensi kerajaan dalam menangani isu tersebut.
Menurut pemimpin itu, perogol tidak sepatutnya dikecualikan daripada sebatan hanya kerana berusia 50 tahun.
“Sungguh ironik mereka dapat terlepas daripada kesakitan akibat dirotan walaupun mereka menyebabkan trauma teruk dan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan, terhadap mangsa yang terpaksa melaluinya seumur hidup,” jelasnya.
* SOKONG HUKUMAN SEBAT
PAVE yang mengendalikan kes keganasan rumah tangga dan perlindungan kanak-kanak memaklumkan pihaknya menyokong gesaan pemimpin tertinggi itu.
Jelas pertubuhan itu, trauma penderaan mangsa tidak pernah hilang, justeru, semua pihak perlu melakukan sebaik mungkin untuk melindungi kanak-kanak.
Dalam pada itu, Adrian dalam satu catatan di LinkedIn tidak bersetuju dengan undang-undang mengecualikan hukuman sebat terhadap perogol berusia 50 tahun dan ke atas.
Katanya, beliau merasakan sebatan merupakan hukuman yang wajar kerana selari dengan prinsip pencegahan.
Sementara itu, AWARE menzahirkan penghargaan kepada Halimah atas komen beliau di Facebook dan penjelasan mengenai kesukaran dihadapi mangsa penderaan seksual kanak-kanak untuk tampil membuat laporan.
Bagaimanapun, pertubuhan itu menyatakan tidak bersetuju dengan cadangan Halimah untuk mengenakan sebatan kepada perogol berusia 50 tahun dan ke atas kerana melanggar hukuman itu `secara am dan sebagai tindak balas terhadap tindakan keganasan khususnya’.
“Hukuman sebatan rotan seolah-olah memperkukuhkan idea yang sememangnya ganas bahawa kuasa dan norma perlu diwujudkan menerusi penguasaan fizikal.
“Daripada mengurangkan budaya keganasan, hukuman seperti ini menormalkan keganasan dan memainkan idea seksis yang mengaitkan imej maskulin dengan kekuatan fizikal,” jelas AWARE di Facebook.
Tambah AWARE, tiada bukti jelas menunjukkan hukuman sebat mampu menghalang kes penderaan seksual.
Malah, pada masa yang sama, ia juga bukan pilihan yang lebih baik berbanding dipenjarakan, program pemulihan atau hukuman tanpa kekerasan.
“Sebenarnya, mangsa yang terselamat lebih keberatan untuk tampil ke hadapan apabila berdepan dengan pendera mereka dihukum berat.
“Ini terutamanya jika mangsa yang terselamat bergantung pada atau mempunyai hubungan dengan pelaku mereka,” jelasnya. – AGENSI