BANGKOK: Hujan lebat dan ribut yang berlarutan memburukkan lagi keadaan banjir di Thailand sehingga mengakibatkan bilangan mangsa meningkat kepada lebih 51,000 orang.
Jabatan Mitigasi dan Pencegahan Bencana (DDPM) dalam satu kenyataan memaklumkan wilayah yang terjejas termasuk Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Yala, Songkhla, Narathiwat, Pattani, Surat Thani, Satun, Trang, Amnat Charoen, Chanthaburi, Prachin Buri dan Chonburi.
“Banjir di Thailand makin buruk dan menyaksikan peningkatan mendadak jumlah mangsa kepada 51,543 orang di 49 daerah terjejas,” menurut jabatan itu seperti yang dilaporkan Bernama.
Pada Ahad lalu, DDPM merekodkan seramai 15,696 mangsa dari 305 kampung di 33 daerah terjejas akibat banjir.
Wilayah Narathiwat antara yang paling teruk dilanda banjir menyaksikan 29,113 mangsa terkesan setakat ini.
Sehingga kini, tiga kematian dilaporkan di Narathiwat dan menjejaskan sejumlah 11,616 mangsa di lapan daerah di Songkhla, menurut jabatan itu.