Ekonomi China belum pulih sepenuhnya - Utusan Malaysia

Ekonomi China belum pulih sepenuhnya

RAKYAT China masih berhati-hati walaupun sekatan ketat Covid-19 mula dilonggarkan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Rakyat China menarik nafas lega selepas peraturan ketat sifar Covid-9 dilonggarkan tetapi masih berhati-hati untuk berbelanja dan penganalisis menjangkakan ekonomi negara ini masih belum mampu untuk pulih sepenuhnya dalam tempoh terdekat. 

Penganalisis tidak menjangkakan pemulihan yang cepat dan meluas dalam perbelanjaan ekonomi kedua terbesar dunia itu kerana kegembiraan menyambut kelonggaran yang mendadak itu masih dipenuhi dengan pelbagai ketidakpastian bagi pengguna dan perniagaan.

Secara teorinya, prospek semakin cerah untuk industri makanan segera seperti McDonald’s, Starbucks, Yum China dan syarikat barangan mewah seperti Louis Vuitton kerana sekatan ketat sebelum ini menyebabkan jualan merudum.

Namun kelonggaran itu dijangka membawa gelombang jangkitan baharu yang boleh mencecah 60 peratus daripada jumlah populasi sebanyak hampir 1.4 bilion itu.

Beberapa ahli ekonomi juga tidak meramal sebarang pertumbuhan awal tahun depan sebaliknya bersedia untuk meneruskan angka pertumbuhan suram tahun ini yang merupakan antara paling teruk dalam setengah abad lalu.

“Beralih daripada kuarantin kemudahan pengasingan ke kuarantin di rumah tidak akan meningkatkan jualan runcit dengan ketara,” kata Ketua Ekonomi Bank Peruncitan ING, Iris Pang.

Rakyat masih berhati-hati 

Kelonggaran itu juga dilaksanakan secara berbeza di pelbagai tempat, kerana terdapat sesetengah bandar masih mengekalkan sekatan yang tidak lagi dikenakan di kawasan lain.

Di hab komersial Shanghai, orang ramai tidak memerlukan ujian negatif Covid-19 untuk memasuki restoran sejak Jumaat lalu, tetapi peraturan itu masih terpakai bagi mereka yang berada di Beijing.

Walaupun terdapat laporan mengenai lonjakan tempahan penerbangan domestik dan tiket wayang, tetapi banyak tempat duduk kereta api bawah tanah dilihat masih kosong meskipun pada waktu puncak di kebanyakan bandar utama di Shanghai dan Beijing.

Barisan panjang orang-ramai juga lebih banyak dilihat di luar farmasi berbanding pusat beli-belah atau kedai-kedai lain kerana mereka lebih mengutamakan perbelanjaan untuk menyimpan stok ujian antigen serta ubat-ubatan merawat gejala selsema.

Terdapat juga penduduk yang masih memilih untuk memasak sendiri atau memesan makanan menggunakan khidmat penghantaran daripada makan di restoran kerana takut dijangkiti Covid-19.

Sebuah spa di pusat membeli-belah di pusat bandar Beijing yang memulakan perniagaan Jumaat lalu berkata, kebanyakan kakitangan sudah kembali bekerja tetapi pelanggan yang datang pula terlalu sedikit.

“Disebabkan wabak itu, kami kini menggunakan promosi dan kupon untuk menarik pelanggan yang sebenarnya membuatkan kami rugi,” kata salah seorang tukang urut di premis berkenaan.

Industri tidak bersedia

Banyak perniagaan juga mengatakan bahawa mereka terperangkap di atas keputusan yang salah, dengan seorang eksekutif rangkaian hotel utama mengadu mereka masih tidak bersedia untuk pembukaan semula yang dramatik dan drastik itu.

“Dengan kebanyakan hotel masih digunakan untuk tujuan kuarantin, ia terbukti sukar untuk memujuk pemilik untuk membuka dan mengupah lebih ramai pekerja selepas kempen sifar Covid melahirkan banyak pemikiran yang lebih konservatif,” katanya.

Pengarah Urusan Kantar Worldpanel, Jason Yu berkata, jualan barangan seperti kosmetik, wain dan minuman beralkohol berkemungkinan akan terus terjejas apabila pengguna masih lagi ingin terus berada di rumah dalam beberapa bulan akan datang.

“Ramai Penduduk juga akan mengutamakan barangan yang menggalakkan kesihatan dan kesejahteraan dan membeli sedikit mi segera serta barangan sejuk beku yang popular dalam kalangan mereka yang bersedia untuk berkurung,” katanya.

Namun, beberapa penganalisis berkata, pembukaan semula memberi petanda baik dalam jangka panjang bagi syarikat yang komited kepada China.

Jenama makanan segera akan dapat kembali kepada perkembangan utama yang telah dirancang sebelum ini termasuk pembukaan cawangan baharu McDonald’s Starbuck di beberapa bandar di negara ini tahun depan.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN