fbpx

Datuk Bandar New York tawar gaji AS$170,000 banteras populasi tikus

BANDAR New York menawarkan pekerjaan sebagai pemusnah tikus dengan gaji lumayan baru-baru ini.-AGENSI

NEW YORK: Datuk Bandar New York mengumumkan mahu membuka peluang pekerjaan baharu sebagai ‘pembunuh tikus‘ dengan tawaran gaji lumayan kepada penduduk bandar itu.

Lapor NDTV, Datuk Bandar New York, Eric Adams menerusi akaun Twitternya baru-baru ini mengumumkan akan menawarkan bayaran sehingga AS$170,000 (RM745,611) kepada individu yang sanggup menerima tugasan tersebut.

“Tiada apa yang lebih saya benci daripada tikus. Jika anda mempunyai dorongan, keazaman dan naluri membunuh yang diperlukan untuk melawan populasi tikus tanpa henti di New York City, maka pekerjaan impian ini menanti anda,” katanya.

Menurut iklan jawatan yang disiarkan oleh pejabat Datuk Bandar, keutamaan akan diberikan kepada mereka yang mempunyai latar belakang dalam perancangan bandar, pengurusan projek atau sektor kerajaan.

Mengikut deskripsi tugas, peranan sebagai Pengarah Mitigasi Tikus itu memerlukan sifat kepimpinan, bermotivasi selain stamina dan ketangkasan yang tinggi.

Mereka yang terpilih wajib menjadi penduduk bandar dalam tempoh 90 hari selepas dilantik, mempunyai ijazah sarjana muda dan pengalaman yang berkaitan termasuk, bersemangat dan licik tanpa rasa belas kasihan terhadap haiwan perosak itu.

Menurut laporan di New York Post, bandar itu sedang berusaha mengupah pemusnah tikus terbaik dalam usaha membersihkan kawasan sekitar dan menangani aduan tikus yang meningkat sehingga 70 peratus dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

“Tikus menyebarkan penyakit, merosakkan rumah dan pendawaian selain cuba mengawal pergerakan kakitangan dapur dalam usaha untuk mengambil alih pekerjaan manusia,” jelas laporan itu.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN