HOUSTON: Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun di Texas, Amerika Syarikat (AS), menarik perhatian warganet kerana memiliki penampilan yang jauh lebih matang berbanding usia sebenar.
Jeremiah Johnson yang merupakan atlet muda dari Fort Worth mula menjadi tajuk utama berita di seluruh AS selepas gambar memaparkan dia memegang trofi `Pemain Paling Bernilai’ (MVP) Divisyen 12U menjadi tular dalam media sosial.
Lapor Oddity Central, Johnson bermain untuk Dallas Dragons Elite Academy (DEA) dan pasukan itu baharu sahaja memenangi Kejohanan Kebangsaan Remaja 2022 di Miami.
Johnson dianugerahkan trofi MVP tersebut.
Meskipun beberapa gambar Johnson yang dimuat naik dalam media sosial mendapat ribuan tanda suka dan komen tahniah, namun perhatian kebanyakan warganet tertumpu pada umur atlet berkenaan.
Rata-rata warganet tidak percaya Johnson baru berusia 12 tahun kerana dia kelihatan sangat matang untuk usianya.
Sebuah sekolah sukan, Generation NEXXT yang terletak di Fort Lauderdale melaporkan Johnson berusia 12 tahun.
Malah, sebuah video kanak-kanak itu yang mendakwa berusia 12 tahun turut tular dalam Twitter.
Bagaimanapun, warganet enggan mempercayainya dan mendakwa Johnson mesti berusia sekurang-kurangnya 20 tahun.
Ramai warganet juga mempersoalkan mengenai tatu terdapat pada lengan Johnson, di samping misai dan janggut dimilikinya kerana didakwa ia adalah luar biasa bagi kanak-kanak berusia 12 tahun.
Sementara itu, ibu Johnson tampil menepis dakwaan itu dengan menjelaskan bahawa ia bukan tatu sebenar dan ia boleh ditanggal semula.
Bagaimanapun, beliau mengakui misai dan janggut dimiliki anaknya adalah asli.