Bekas setiausaha kem tahanan Nazi dipenjara 2 tahun - Utusan Malaysia

Bekas setiausaha kem tahanan Nazi dipenjara 2 tahun

IRMGARD Furchner. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAMBURG: Seorang bekas setiausaha kem tahanan Nazi berusia 97 tahun didapati bersalah bersubahat dalam pembunuhan lebih 10,500 orang yang dipenjarakan di kem berkenaan semasa Perang Dunia Kedua.

Lapor The Guardian, Irmgard Furchner dikenakan hukuman penjara selama dua tahun yang ditangguhkan (suspended sentence).

Menurut hakim Dominik Gross, kes itu bakal menjadi `salah satu perbicaraan terakhir di dunia berkaitan jenayah era Nazi’ dan mengambil pendekatan berbeza dengan membenarkan prosiding dirakam untuk tujuan rekod sejarah.   

Perbicaraan yang berlangsung selama 40 hari mendengar keterangan daripada 30 mangsa terselamat dan saudara mara tahanan di Stutthof dari Amerika Syarikat (AS), Perancis, Austria dan negara Baltik. 

Perbicaraan itu turut mendapatkan pandangan pakar sejarah berhubung kehidupan seharian di Stutthof dan peranan dimainkan oleh Furchner dalam membantu pemprosesan birokrasi tahanan.

Selain itu, mahkamah turut mendengar maklumat mengenai layanan kejam terhadap tahanan termasuk kaedah penyeksaan dan prosedur terlibat dalam pembunuhan sistematik ribuan mangsa.   

Furchner, yang sebelum ini dibicarakan di bandar Itzehoe di Jerman lebih setahun lalu, memaklumkan kepada mahkamah pada awal bulan ini bahawa dia berasa kesal dengan kejadian menimpa mangsa berkenaan.

Bagaimanapun, Furchner tidak mengaku bersalah atas pembabitannya dalam pembunuhan mangsa tersebut.

Pada September tahun lalu, sesi perbicaraan Furchner terpaksa ditangguhkan selepas dia gagal hadir ke mahkamah kerana telah melarikan diri.

Furchner ditahan polis di pinggir bandar Hamburg sebelum direman selama lima hari dengan dipasang tag pergelangan tangan elektronik.

Furchner yang ketika itu berusia 18 tahun, pernah bekerja di kem tahanan Stutthof sebagai setiausaha kepada komander, Paul-Werner Hoppe antara tahun 1943 dan 1945.

Dia dibicarakan di mahkamah juvana disebabkan umurnya ketika jenayah itu dilakukan.

Furchner merupakan wanita pertama dalam kalangan orang awam di Jerman yang dipertanggungjawab atas jenayah dilakukan di kem tahanan Nazi.    

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN