BEIJING: Pasukan penyelidik di China menemukan virus baharu menyerupai Covid-19 dalam tubuh kelawar di selatan negara itu yang dikhuatiri berpotensi menjangkiti manusia dan haiwan ternakan.
Lapor Mail Online, penyelidik di China mengambil sampel daripada 149 kelawar dari 15 spesis di seluruh wilayah Yunnan dan menemui lima jenis virus baharu yang membimbangkan.
Salah satunya adalah virus seperti Covid-19 dikenali sebagai BtSY2 yang mempunyai persamaan dengan SARS-CoV-2.
Penyelidikan itu diketuai oleh saintis dan pakar dari Universiti Sun Yat-sen di Shenzhen, Institut Kawalan Penyakit Endemik Yunnan dan Universiti Sydney dan telah diperincikan dalam kajian yang diterbitkan baru-baru ini.
“Kami mengenal pasti lima spesies virus yang berkemungkinan patogenik kepada manusia atau haiwan ternakan, termasuk kombinasi coronavirus seperti SARS yang berkait rapat dengan kedua-dua SARS-CoV-2 dan 50 SARS-CoV,” jelas pasukan saintis dalam kajian itu.
Ahli Virologi Universiti Nottingham, Profesor Jonathan Ball berkata, apa yang paling membimbangkan adalah kekerapan pelbagai jenis virus yang menjangkiti seekor kelawar pada satu masa kerana berpotensi mencetus varian baharu.
“Ini boleh menyebabkan virus sedia ada menukar bit kod genetiknya melalui proses yang dikenali sebagai penggabungan semula untuk membentuk patogen baru.
“Mesej utama adalah seekor kelawar boleh menampung sejumlah besar spesies virus yang berbeza dan kadang kala menjadi tuan rumah kepada virus-virus itu pada masa yang sama.
“Jangkitan bersama seperti itu, terutamanya dengan virus berkaitan seperti coronavirus, memberi peluang virus untuk menukar maklumat genetik yang kritikal dan secara semula jadi menimbulkan varian baharu,” jelasnya.










