BANGKOK: Satu upacara pengebumian tidak dapat diteruskan apabila keluarga si mati mendapati mayat yang berada di depan mereka bukanlah ahli keluarga mereka yang meninggal dunia, sebaliknya orang lain.
Kejadian itu berlaku selepas pihak hospital secara tidak sengaja tersalah menyerahkan mayat kepada keluarga berkenaan.
Dalam pada itu, keluarga si mati sabar menunggu di sebuah kuil untuk menerima mayat mangsa yang merupakan seorang wanita yang maut dalam kemalangan jalan raya.
Sebelum itu, abang si mati pergi ke hospital untuk menerima mayat adiknya sebelum dibawa ke kuil.
Sebaik sahaja van mayat tiba di kuil, keluarga si mati segera membuka zip beg mayat dan mereka terkejut selepas mendapati mayat itu bukanlah keluarga mereka.
Hal ini kerana, mayat wanita itu mempunyai kulit yang lebih cerah dan tidak kelihatan seperti terlibat dalam kemalangan.
Keluarga berkenaan kemudiannya segera menghubungi hospital dan bahagian rumah mayat mengakui mereka tersilap menyerahkan mayat.
Dalam pada itu, abang si mati mengakui kesilapan itu juga berpunca darinya kerana tidak melakukan pemeriksaan dengan teliti ketika menerima mayat adiknya di hospital.
Katanya, dia dalam keadaan tergesa-gesa, selain mendakwa wajah mayat itu ‘lebih kurang’ dengan muka adiknya.
Sementara itu, pihak hospital memohon maaf atas kesilapan yang berlaku dan akan membayar kos pengebumian.