Pilihan raya tengah penggal AS: Parti mana bakal kuasai Kongres, Senat?

Pilihan raya tengah penggal AS: Parti mana bakal kuasai Kongres, Senat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS) bermula dengan menyaksikan rakyat negara ini keluar mengundi bagi menentukan siapa pilihan mereka, iaitu Demokrat atau Republikan.

Berdasarkan 42 juta rakyat negara ini yang sudah mengundi awal, Republikan dilihat berkemungkinan merampas kembali kuasa di Kongres buat pertama kali dalam tempoh empat tahun.

Bagi Senat pula, masih terlalu awal untuk menjangkakan parti mana yang akan menguasai, namun pemerhatian awal mendapati Republikan mempunyai peluang cerah untuk memenangi kerusi dalam Senat berbanding Demokrat.

Dalam Kongres, Republikan perlu memenangi lima kerusi daripada 435 yang dipertandingkan untuk memperoleh majoriti.

Menurut Laporan Politik Cook yang menganalisis daya saing kaum berdasarkan data pengundian, Republikan mempunyai kekuatan menerusi 212 kerusi, sekali gus hanya perlu memenangi enam daripada 35 kerusi panas bagi mengawal majoriti.

Sebanyak 10 kerusi daripada jumlah itu sudah pun dipegang oleh anggota Republikan.

Bagi Senat pula, hanya 35 daripada 100 kerusi yang dipertanding dalam pilihan raya pertengahan penggal tahun ini.

Ketika ini, Demokrat berusaha keras untuk mempertahankan kerusi di Kongres dan Senat, namun selepas dua tahun mentadbir kerajaan, rakyat AS dilihat ‘kurang berpuas hati’ dengan prestasi pentadbiran Presiden Joe Biden.

Bermula dengan pandemik Covid-19, cabaran pentadbiran Biden semakin sukar dengan tercetusnya perang Russia-Ukraine yang menjejaskan pelbagai sektor dunia termasuk ekonomi dan makanan.

Rakyat AS yang pada mulanya menyangka pentadbiran Biden mampu mengeluarkan mereka daripada fasa sukar selepas pandemik berpendapat, kehidupan mereka kini semakin sukar akibat kenaikan kos sara hidup, susulan perang Ukraine.

KENAPA PILIHAN RAYA PERTENGAHAN PENGGAL PENTING?

Pilihan raya tersebut memberi peluang kepada para pengundi untuk secara tidak langsung menyampaikan pandangan mereka mengenai prestasi pentadbiran Biden dan situasi terkini di AS.

Dengan ekonomi yang tidak stabil dan kebimbangan pengundi mengenai peningkatan kadar jenayah serta kemasukan pendatang, situasi itu mungkin menyukarkan Biden dan pasukannya.

Berikut adalah sebab mengapa pilihan raya tersebut penting.

1) Penetapan polisi

Mana-mana parti yang menguasai Kongres dan negeri-negeri utama, mereka berpeluang membentuk polisi baharu, sama ada diterima atau ditolak rakyat.

Jika Republikan menguasai Kongres, antara isu yang diketengahkan adalah berkaitan pendatang, hak agama dan mengekang peningkatan kadar jenayah.

Bagi Demokrat pula, isu utama yang diperjuangkan termasuk alam sekitar, sistem kesihatan, hak mengundi dan kawalan penggunaan senjata api.

2) Giliran Republikan ‘siasat’ Demokrat

Parti yang memperoleh majoriti dalam Kongres mempunyai kuasa untuk melancarkan suruhanjaya siasatan.

Demokrat sebelum ini bertungkus-lumus menyiasat insiden rusuhan yang berlaku di Capitol pada tahun lalu oleh penyokong Donald Trump.

Bagi Republikan pula, sekiranya mereka menguasai Kongres, perkara pertama yang menjadi tumpuan adalah berkaitan polisi kemasukan pendatang yang dilaksanakan pentadbiran Biden dan pengunduran tentera AS dari Afghanistan, selain asal usul pandemik Covid-19 yang didakwa bermula di China/

3) Masa depan Joe Biden

Prestasi kerja Biden disifatkan semakin merosot sejak lebih setahun lalu selepas dilantik sebagai Presiden AS.

Biarpun sebelum ini Demokrat dilihat mampu mengatasi masalah yang berlaku, peningkatan kadar inflasi dan ekonomi goyah menyebabkan parti itu berdepan kesukaran.

Dalam tempoh dua tahun, Biden mendesak beberapa undang-undang baharu mengenai perubahan iklim, kawalan senjata api, pelaburan infrastruktur dan kemiskinan kanak-kanak.

Jika Republikan menguasai Kongres atau Senat, mereka berpeluang menghalang semua rang undang-undang yang diusulkan oleh Demokrat daripada diluluskan.

4) Trump bertanding lagi?

Tidak seperti bekas presiden yang kalah sebelum ini, Trump tidak meninggalkan dunia politik secara senyap.

Sebaliknya beliau masih menzahirkan minat untuk bertanding dalam pilihan raya presiden 2024, sekali gus menawan White House.

Biarpun tidak bertanding mewakili mana-mana negeri, Trump masih memilih calon-calon Republikan untuk bertanding di seluruh AS.

Jika semua pilihannya menang, hal itu secara tidak langsung menunjukkan percaturan Trump tepat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN