DOHA: Pemain bola sepak Argentina, Lionel Messi dan rakan sepasukannya menolak kemewahan hotel lima bintang sebaliknya memilih dewan pelajar sebagai tempat penginapan mereka sepanjang kejohanan Piala Dunia di Qatar.
Messi dan skuad Argentina tiba di Doha awal pagi kelmarin tetapi tidak seperti pesaing mereka yang menginap di beberapa hotel termewah di bandar itu, mereka terus menuju ke penginapan yang lebih sederhana di dewan pelajar Universiti Qatar.
Keputusan mengejut untuk tinggal di sana diambil selepas pegawai bola sepak Argentina memutuskan bahawa kampus yang luas itu akan membolehkan mereka menganjurkan parti barbeku tradisi yang terkenal di Argentina dipanggil ‘asado’.
Kawasan barbeku khas dibina di kawasan universiti itu yang membolehkan Messi dan rakan-rakannya menikmati pelbagai jenis stik serta sosej daging lembu yang akan dimasak dengan cara tradisional negara itu.
Daging lembu terbaik di dunia dari negara Amerika Selatan turut diterbangkan ke Qatar untuk pasukan Argentina yang merupakan antara pasukan pilihan untuk memenangi Piala Dunia tahun ini.
Chef asado khas juga akan dibawa ke dewan tersebut untuk memastikan daging barbeku dimasak sempurna sama seperti di Argentina.
“Asado sangat penting kepada pemain dan Argentina secara umumnya kerana ia adalah sebahagian daripada budaya kami. Kami mahu membuatkan mereka berasa seperti di rumah semasa berada di Qatar.
“Anda boleh katakan pasukan lain memilih untuk tinggal di penginapan yang lebih mewah tetapi pasukan kami adalah yang terbaik di dunia yang juga berhak mendapat daging lembu terbaik. Fokus kami adalah untuk memenangi Piala Dunia, bukan kualiti hotel yang kami tinggal,” jelas sumber Persatuan Bola Sepak Argentina.-AGENSI