BANDUNG: – Situasi panik tercetus selepas bangunan Badan Perancangan, Penyelidikan dan Pembangunan Balai Kota Bandung di Jawa Barat terbakar pagi tadi.
Lapor portal Kompas.com, kebakaran tersebut bukan sahaja menyebabkan ramai pekerja cemas malah mesyuarat yang diadakan oleh Datuk Bandar Bandung, Yana Mulyana juga terpaksa dibatalkan ekoran insiden itu.
Menurut saksi kejadian, Asep Priyatna, 43, kebakaran berpunca dari tingkat dua dan kemudian merebak dengan cepat memusnahkan beberapa bilik di bangunan tersebut.
Sembilan unit jentera bomba dikerahkan untuk memadam kebakaran itu.
Sementara itu, kakitangan dikenali sebagai Pratama berkata, sebelum kebakaran berlaku, dia terdengar keretakan dari bahagian atas bangunan itu dan kebakaran disyaki berpunca daripada proses mengimpal bumbung.