ISTANBUL: Kementerian Dalam Negeri Turkiye menuduh Parti Buruh Kurdistan (PKK) bertanggungjawab melancarkan serangan bom di kawasan tumpuan pelancong yang sibuk di bandar raya ini, menyebabkan enam orang terkorban dan lebih 80 cedera.
Letupan itu berlaku di Istiklal Avenue iaitu destinasi beli-belah terkenal untuk penduduk tempatan dan pelancong pada tengah hari kelmarin.
Beberapa jam selepas insiden itu berlaku, seorang suspek yang merupakan wanita ditahan.
Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu menerusi kenyataan mengesahkan perkara tersebut.
“Berdasarkan siasatan awal, PKK terlibat dalam letupan yang berlaku.
PKK merupakan organisasi pengganas yang diharamkan oleh Ankara dan sekutu Barat.
Dalam pada itu, Presiden Recep Tayyip Erdogan menyelar letupan itu sebagai ‘serangan berniat jahat’.
“Kita mungkin salah jika kita menyifatkan serangan yang berlaku sebagai keganasan, namun terdapat tanda-tanda menunjukkan letupan itu memang tindakan keganasan,” ujarnya.
Naib Presiden, Fuat Oktay pula memaklumkan, suspek serangan itu merupakan wanita.
Menteri Kehakiman, Bekir Bozdag memberitahu, seorang wanita dikesan duduk atas satu daripada kerusi berhampiran lokasi kejadian selama lebih 40 minit sebelum bangun.
“Satu hingga dua minit kemudian, letupan berlaku. Terdapat dua kemungkinan iaitu sama ada terdapat bahan letupan diletakkan dalam begnya dan meletup atau bahan peledak itu diletupkan menggunakan alat kawalan jauh,” jelasnya.
Pihak berkuasa Turkiye bagaimanapun tidak mendedahkan identiti wanita tersebut atau maklumat sekiranya dia terlibat dengan PKK.
Dalam pada itu, situasi di lokasi kejadian tetap tenang dengan kebanyakan kedai masih dibuka, beberapa jam selepas letupan berlaku.
Malahan, terdapat premis perniagaan yang dibuka sehingga lewat malam, seolah-olah seperti tiada apa yang berlaku sebelum itu.
“Kami tidak takut, kami dengar bunyi letupan itu, namun kami tetap buka kedai selagi polis tidak meminta kami menutup operasi,” menurut pengarah Restoran Keyif Nevizade, Mustafa Guler.
Restoran itu terletak 300 meter dari lokasi kejadian. – AFP