Lebih 15,000 orang awam di Ukraine hilang akibat perang - Utusan Malaysia

Lebih 15,000 orang awam di Ukraine hilang akibat perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Lebih 15,000 orang awam hilang ketika perang di Ukraine, menurut seorang pegawai Suruhanjaya Antarabangsa berkaitan Individu Hilang (ICMP), semalam.

Pertubuhan yang berpangkalan di Hague dan diwujudkan selepas perang Balkan pada 1990-an itu membuka pejabat di Kyiv pada Julai lalu untuk membantu Ukraine mendokumentasikan dan mengesan orang awam yang hilang.

Pengarah program ICMP untuk Eropah, Matthew Holliday, berkata tidak jelas berapa ramai individu yang dipindahkan secara paksa, berada dalam tahanan di Russia, masih hidup dan dipisahkan daripada ahli keluarga mereka atau meninggal dunia dan dikebumikan dalam tapak perkuburan sementara.

Tambah Holliday dalam satu temubual dengan Reuters, proses penyiasatan membabitkan individu yang hilang di Ukraine dijangka mengambil masa bertahun-tahun walaupun selepas perang itu tamat.

“Angka 15,000 itu mungkin hanya satu anggaran, ini mengambil kira 25,000 kes yang dianggarkan bagi bandar pelabuhan Mariupol saja, sama ada membabitkan individu sudah meninggal dunia atau hilang.

“Jumlahnya adalah besar dan cabaran yang dihadapi oleh Ukraine juga tinggi, mengambil kira mereka sedang berperang dengan Russia,” katanya.

Berdasarkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) pada pangkalan data dan usaha mendapatkan padanan melalui bantuan saudara mara, ICMP mengenal pasti lebih 27,000 daripada 40,000 individu yang dilaporkan hilang ketika konflik berkenaan.

Di Kyiv, ICMP mula mengumpul sampel DNA dan meningkatkan kapasiti untuk proses mengesan individu yang hilang, sekali gus membantu pihak pendakwa raya membuktikannya sebagai kes jenayah perang. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya