Ketua ajaran sesat Turkiye dipenjara lebih 8,000 tahun

Ketua ajaran sesat Turkiye dipenjara lebih 8,000 tahun

ADNAN OKTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Mahkamah Istanbul kelmarin mengenakan hukuman penjara selama 8,658 tahun terhadap seorang ketua ajaran sesat yang gemar dikelilingi wanita berpakaian seksi yang digelarnya sebagai ‘anak kucing’.

Menerusi beberapa program televisyen, Adnan Oktar sambil dikelilingi wanita seksi akan menyampaikan ceramah mengenai agama dan nilai-nilai konservatif yang kontroversi.

Pada tahun lalu, lelaki berusia 66 tahun itu dipenjara selama 1,075 tahun selepas disabit pelbagai kesalahan, termasuk serangan seksual, penderaan seksual terhadap kanak-kanak bawah umur, penipuan dan percubaan pengintipan politik serta ketenteraan.

Namun, keputusan itu dibatalkan oleh mahkamah tinggi.

Semasa perbicaraan semula, Mahkamah Tinggi Istanbul menjatuhkan hukuman penjara 8,658 tahun terhadap Adnan berhubung beberapa kesalahan termasuk penderaan seksual dan merampas kebebasan individu.

Lapor agensi berita Anadolu, mahkamah turut mengenakan hukuman yang sama terhadap 10 tertuduh yang lain.

Adnan menjadi terkenal menerusi rancangannya yang disiarkan di saluran televisyen A9 secara dalam talian, selain sering dikecam oleh pemimpin agama Turkiye.

Menerusi serbuan dan operasi besar-besaran yang dilakukan pihak berkuasa negara ini, Adnan dan pengikutnya ditahan di Istanbul pada 2018. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN