SINGAPURA: Cukai barang dan perkhidmatan (GST) di republik ini akan dinaikkan mulai tahun depan selepas Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang (Pindaan) Cukai GST, meskipun mendapat bantahan dalam kalangan pembangkang.
Lapor Berita Mediacorp, keputusan itu menyaksikan GST Singapura akan dinaikkan daripada tujuh peratus kepada lapan peratus mulai 1 Januari 2023, dan lapan peratus kepada sembilan peratus bermula 1 Januari 2024.
Timbalan Perdana Menteri, Lawrence Wong mengumumkan kerajaan akan membelanjakan lagi S$1.4 bilion (RM4.7 bilion) bagi mengimbangi kesan kenaikan GST bagi kebanyakan isi rumah Singapura untuk sekurang-kurangnya lima tahun.
Terdahulu, pembangkang mempersoalkan sama ada kenaikan GST itu dilaksanakan tepat pada waktunya berikutan tekanan inflasi yang dihadapi republik sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Kumpulan pembangkang menyifatkan keputusan menaikkan GST sebagai langkah yang teruk dan tidak bertanggungjawab.