fbpx

49 dijatuhi hukuman mati di Algeria bunuh pelukis difitnah bakar hutan

ALGIERS: Mahkamah Algeria menjatuhkan hukuman mati ke atas 49 suspek yang terlibat melakukan pembunuhan kejam seorang pelukis yang difitnah memulakan kebakaran hutan di wilayah Berber walaupun sebenarnya mangsa datang hanya untuk membantu memadam api.

Pembunuhan pada 2021 di wilayah Kabyle di timur laut Algeria mengejutkan negara itu selepas gambar pembunuhan ngeri itu dikongsi di media sosial.

Lapor portal The Guardian, kejadian berlaku sejurus selepas kebakaran hutan di kawasan pergunungan Berber yang mengorbankan kira-kira 90 orang, termasuk tentera yang cuba memadamkan api.

Perbicaraan besar-besaran ke atas pembunuhan artis, Djamel Ben Ismail melibatkan lebih 100 suspek, yang kebanyakannya didapati bersalah atas beberapa peranan dalam kematiannya.

Mereka yang dijatuhkan hukuman mati semalam berkemungkinan berdepan hukuman penjara seumur hidup, kerana Algeria telah mengadakan moratorium hukuman mati selama beberapa dekad.

Peguam, Hakim Saheb yang merupakan ahli pasukan peguambela sukarela dalam perbicaraan di pinggir bandar Algiers di Dra El Beida berkata, seramai 38 lagi suspek dijatuhi hukuman penjara antara dua dan 12 tahun.

Ketika kebakaran hutan melanda pada Ogos 2021, Djamel menulis tweet memberitahu dia akan menuju ke wilayah Kabyle, kira-kira 320 kilometer dari rumahnya, untuk menghulurkan bantuan bagi memadamkan kebakaran di kawasan berkenaan.

Setibanya di Larbaa Nath Irathen, sebuah perkampungan yang dilanda kebakaran, beberapa penduduk tempatan terus menuduhnya sebagai orang yang bertanggungjawab memulakan kebakaran itu hanya kerana dia bukan penduduk kawasan itu.

Djamel, 38, dibunuh di luar balai polis di dataran utama bandar itu dan polis berkata dia diseret keluar dari balai, di mana dia dilindungi dan diserang.

Antara yang dibicarakan ialah tiga wanita dan seorang lelaki yang membelasah mayat mangsa yang tidak bernyawa sebelum dibakar.

Polis berkata gambar yang disiarkan dalam talian membantu mereka mengenal pasti suspek.

Keluarga mangsa mengakui amat kecewa dan mempersoalkan mengapa indivdu yang mengambil gambar itu tidak menyelamatkan mangsa.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN