COLOMBO: Ahli- ahli Parlimen Sri Lanka mengundi untuk mengehadkan kuasa presiden, sebahagian konsesi separa gerakan protes negara itu yang memaksa bekas ketua negara itu hidup dalam buangan.
Sri Lanka dilanda kemelesetan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada tahun ini sehingga mencetuskan kemarahan penduduk, dengan kerajaan Colombo dituduh melakukan salah urus serta mengakibatkan krisis kekurangan makanan dan bahan api yang drastik.
Protes selama beberapa bulan memuncak pada Julai lalu dengan penunjuk perasaan menyerbu kediaman rasmi bekas presiden, Gotabaya Rajapaksa yang melarikan diri ke Singapura selepas kerajaan pimpinannnya tumbang.
Presiden baharu, Ranil Wickremesingh berikrar untuk mengekang penggunaan meluas kuasa jawatannya yang pernah dilakukan ketika pentadbiran Rajapaksa.
Sebahagian besar ahli Parlimen mengundi untuk menyokong pindaan Perlembagaan yang mengehadkan kuasa kawalan presiden terhadap polis, badan kehakiman dan pelantikan perkhidmatan awam.
“Dari pandangan rakyat, ini adalah rang undang-undang yang terbaik dan atas sebab itu kami menyokongnya,” kata bekas presiden, Maithripala Sirisena yang ketika ini menjadi penggubal undang-undang blok pembangkang.
Parti pembangkang menyokong langkah itu namun menyifatkan pindaan rang undang-undang itu tidak cukup meluas, setelah menyokong gesaan gerakan protes untuk mengurangkan kuasa presiden kepada peranan dalam istiadat.
“Apa yang anda cuba lakukan menarik perhatian rakyat,” kata seorang ahli Parlimen, MA Sumanthiran ketika membahaskan RUU itu.
Pindaan rang undang-undang itu juga antara lain mengembalikan larangan dua warganegara daripada bertanding dalam pilihan raya umum selepas dimansuhkan oleh Rajapaksa dua tahun lalu.
Adik kepada Rajapaksa, Basil, bekas menteri kewangan memiliki kewarganegaraan Amerika Syarikat (AS) dan dipercayai masih mempunyai aspirasi presiden walaupun rakyat Sri Lanka marah dengan peranannya semasa krisis ekonomi. – AFP










