KYIV: Beberapa siri letupan menggegarkan beberapa bandar di seluruh Ukraine, termasuk serangan peluru berpandu ke atas ibu kota Kyiv buat kali pertama dalam tempoh beberapa bulan.
Serangan itu berlaku beberapa jam selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin menggelar letupan di jambatan yang menghubungkan Rusia ke Crimea Sabtu lalu sebagai tindakan pengganas yang didalangi oleh perkhidmatan khas Ukraine.
Penasihat Hal Ehwal Dalam Negara Ukraine, Rostyslav Smirnov berkata, menurut maklumat awal sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan 24 cedera hanya dalam satu serangan di Kyiv.
Letupan itu menyusul beberapa bulan yang agak tenang di ibu negara Ukraine.
Ahli Parlimen Ukraine, Lesia Vasylenko menyiarkan gambar di laman Twitter menunjukkan letupan berlaku berhampiran bangunan utama Universiti Kebangsaan Kyiv.