Rishi Sunak tidak mahu terburu-buru bentang laporan fiskal

Rishi Sunak tidak mahu terburu-buru bentang laporan fiskal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Perdana Menteri baharu Britain, Rishi Sunak mungkin menangguhkan pembentangan laporan fiskal yang sepatutnya berlangsung minggu depan bagi mengatasi ‘kekurangan’ sebanyak 40 bilion pound (RM217 bilion) dalam pentadbiran kewangan negara ini.

Lapor The Times, Sunak dijangka bertemu dengan Menteri Kewangan, Jeremy Hunt untuk membincangkan lebih terperinci mengenai cadangan untuk meningkatkan kadar cukai dan memberi tekanan terhadap perbelanjaan awam.

Namun, laporan tersebut perlu dibentangkan sebelum 3 November ini sebagai persediaan kepada Bank of England mengumumkan rancangannya untuk kenaikan kadar faedah.

Laporan fiskal itu juga boleh ditolak bagi dikaji semula untuk dibentangkan sebagai belanjawan penuh.

Jangkaan itu boleh berlaku selepas jurucakap bekas Perdana Menteri Britain, Liz Truss menyatakan penggantinya bakal memutuskan sama ada untuk meneruskan pelan fiskal yang dijadualkan pada 31 Oktober ini.

Hunt menentang pelan pertumbuhan ekonomi Truss pada 17 Oktober lalu selepas tempoh pergolakan politik dan pasaran di UK selama beberapa minggu sehingga menyebabkan Truss meletak jawatan.

Sunak yang dilantik bagi menggantikan Truss, sekali gus menjadi perdana menteri ketiga Britain dalam tempoh dua bulan, bertindak melantik semula Hunt sebagai menteri kewangan.

Selepas pelantikannya, Hunt memaklumkan, kerajaan akan berusaha memulihkan kestabilan, keyakinan dan pertumbuhan jangka panjang, sambil mengakui negara ini berdepan detik sukar.

Dalam pada itu, Sunak turut mengekalkan beberapa menteri kanan daripada Kabinet terdahulu termasuk Setiausaha Luar, James Cleverly dan Setiausaha Pertahanan, Ben Wallace, biarpun kedua-duanya sebelum ini merupakan penyokong Boris Johnson. – REUTERS/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN