Putin tuduh Ukraine dalang letupan jambatan Crimea - Utusan Malaysia

Putin tuduh Ukraine dalang letupan jambatan Crimea

TANGKAP layar rakaman video menunjukkan anggota Jawatankuasa Penyiasatan Russia berada di jambatan Crimea Russia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Presiden Vladimir Putin mendakwa Ukraine melancarkan serangan ke atas jambatan Crimea Russia, dengan menyifatkannya sebagai `tindakan keganasan’.

Lapor BBC, Putin menyalahkan pasukan perisikan Ukraine susulan kemusnahan infrastruktur awam Russia yang amat penting itu.

“Sudah pastinya, ini adalah tindakan keganasan yang bertujuan untuk memusnahkan infrastruktur awam penting Russia.

“Malah, dalang, pelaku dan penajanya adalah perkhidmatan keselamatan Ukraine,” katanya.

Putin membuat dakwaan itu ketika pertemuan dengan ketua jawatankuasa penyiasatan Russia, Alexander Bastrykin.

Dilaporkan, tiga orang terbunuh dalam letupan di jambatan yang merentasi Selat Kerch itu.

Menurut pegawai Russia, ketika kejadian, mangsa berada di dalam sebuah kereta berhampiran apabila trak yang dipercayai diletakkan bom meletup atas jambatan berkenaan.

Letupan daripada trak berkenaan menyebabkan tujuh tangki minyak kereta api yang dalam perjalanan ke Semenanjung Crimea turut terbakar.

Sementara itu, Bastrykin berkata, beberapa rakyat Russia dan warga asing membantu melancarkan serangan tersebut.  

Katanya, pasukan penyiasat mengesahkan trak terbabit melalui Bulgaria, Georgia, Armenia, Utara Ossetia, kemudian wilayah Krasnodar sebelum tiba di jambatan berkenaan.

Beliau sudah mengarahkan siasatan dijalankan terhadap insiden letupan jambatan itu.

Setakat ini, pihak berkuasa Ukraine tidak memaklumkan sama ada tentera negara itu bertanggungjawab ke atas kejadian berkenaan.  

Bagaimanapun, penasihat kepada Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky iaitu Mykhailo Podolyak menafikan tuduhan Putin.  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya