BEIJING: Kongres Parti Komunis China memperlihatkan ketidakseimbangan jantina yang ketara dalam sektor politik negara ini apabila tiada seorang pun wanita menyertai 24 anggota politburo.
Perkara itu berlaku buat kali pertama dalam tempoh sekurang-kurangnya satu per empat abad di negara ini.
Malah, pemimpin wanita tertinggi dalam parti itu turut meletak jawatan ketika Presiden Xi Jinping mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin China buat penggal ketiga.
Ahli politik veteran, Sun Chunlan dilaporkan tidak tersenarai dalam jawatan kuasa politburo Parti Komunis China, sekali gus mengesahkan beliau sudah meletak jawatan.
Dalam parti politik terbesar dunia dengan mempunyai 96 juta ahli aktif, golongan wanita tidak pernah diberi peluang memegang kuasa besar, malah kini lebih sedikit.
Golongan wanita hanya membentuk lima peratus daripada 205 ahli jawatankuasa pusat baharu parti itu, dengan Chunlan, 72, merupakan satu-satunya wanita dalam politburo tersebut.
Situasi itu berbeza dengan ikrar yang dilaungkan oleh pengasas Parti Komunis yang mengangkat martabat golongan wanita dalam politik negara.
Selain itu, golongan wanita di China hanya disifatkan sebagai ‘kilang membuat anak’ memandangkan kadar kelahiran yang semakin rendah di negara ini.
Kerajaan China juga menetapkan had usia persaraan yang rendah untuk golongan wanita iaitu 55 tahun berbanding lelaki dengan umur 60 tahun.










