DHAKA: Bangladesh memaklumkan pihak berkuasa Myanmar bersetuju supaya pelarian Rohingya yang berada di negara ini dihantar pulang di bawah perjanjian dua hala yang ditandatangani pada November 2017.
“Berita baiknya adalah kerajaan Myanmar sekarang bersetuju warga Rohingya dihantar pulang, manakala kemudahan di negeri Rakhine sedang dibangunkan,” kata Menteri Luar, AK Abdul Momen seperti yang dilaporkan Agensi Anadolu.
Beliau menyatakan, kerajaan Myanmar juga akan berusaha ‘memudahkan proses penghantaran semua pelarian Rohingya’.
Namun, beliau mengkritik pihak berkuasa Myanmar yang masih menuntut dokumen pengenalan diri Rohingya.
“Apabila etnik Rohingya melarikan diri dari Rakhine, keadaan sangat berbahaya dan mereka datang ke Bangladesh sehelai sepinggang.
“Bagaimana mereka boleh menyediakan dokumen untuk membuktikan identiti mereka sebagai warga Myanmar?” soalnya.
Beliau berkata dua proses penghantaran pulang sebelum ini gagal kerana Rohingya tidak yakin dengan pihak berkuasa Myanmar.
“Jadi, kali ini kami mahu melakukan sesuatu yang sewajarnya dan tempat Rohingya adalah di Myanmar,” ujarnya.
Bangladesh kini menjadi tuan rumah kepada lebih 1.2 juta pelarian Rohingya yang berada di khemah sementara di daerah sempadan selatan Cox’s Bazar.