WASHINGTON: Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) memaklumkan akan cuba melancarkan roket `paling berkuasa’ milik agensi itu, pada bulan depan.
NASA bagaimanapun tidak memperincikan butiran lanjut termasuk tarikh khusus untuk program Artemis 1 yang dihentikan buat sementara waktu.
Sebelum ini, agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) itu terpaksa menangguhkan pelancaran roket disebabkan Taufan Ian yang melanda Florida pada minggu ini.
NASA memaklumkan sedang bersiap sedia untuk pelancaran seterusnya antara 12 dan 27 November depan.
“Ia dijangka dilakukan dalam beberapa hari lagi,” jelas agensi itu menerusi blog.
Jelas agensi itu, pasukan pakar akan menilai keadaan dan kerja perlu dilakukan serta mengenal pasti tarikh khusus untuk pelancaran seterusnya.
Setakat ini, para pegawai tidak menolak kemungkinan cubaan pelancaran roket mungkin dilakukan semula pada bulan ini.
Matlamat utama pelancaran itu adalah untuk menguji Sistem Pelancaran Angkasa Lepas (SLS) dan kapsul Orion yang dipasang pada bahagian atas roket.
Roket SLS yang merupakan `paling berkuasa’ dibangunkan oleh NASA, terpaksa ditempatkan semula di hangar simpanan di Pusat Angkasa Kennedy bagi melindunginya daripada Taufan Ian.
Menurut NASA, roket itu tidak mengalami sebarang kerosakan akibat taufan yang sudah menjejaskan beberapa kawasan di Florida. – AFP