JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengakui beliau banyak menerima keluhan masyarakat mengenai gaya hidup mewah dalam kalangan pegawai polis di negara ini.
Lapor CNN Indonesia, Jokowi menyatakan, kebanyakan keluhan itu berkaitan gaya hidup mewah yang melibatkan pasukan polis elit, bermula dari penggunaan kenderaan mewah sehingga pakaian berjenama mahal.
“Saya menerima terlalu banyak aduan, keluhan dan laporan mengenai gaya hidup anggota polis dan sedikit sebanyak hal itu menjejaskan imej pasukan keselamatan di negara ini.
“Sekarang ini, semua hal akan diperhatikan masyarakat, tidak kiralah urusan apa pun, semuanya diteliti.
“Sebab itu, saya sering nasihatkan kepada semua penjawat awam supaya tidak terlalu menunjuk dalam apa jua aspek, terutamanya mengenai kehidupan harian memandangkan pelbagai lapisan masyarakat berdepan krisis ekonomi ketika ini,” katanya.
Sehubungan itu, Jokowi meminta semua institusi polis supaya tidak terlalu menonjolkan gaya hidup mewah mereka.
“Jangan terlalu bangga menunjukkan anda mempunyai kenderaan besar, motor besar. Saya ingin nasihatkan supaya hati-hatilah,” ujarnya.
Selain itu, Jokowi juga mengingatkan semua anggota polis supaya peka dengan keadaan ekonomi semasa.
Katanya, terdapat 66 negara di seluruh dunia ketika ini yang ekonominya dalam kedudukan tidak stabil.
“Saya tidak suka untuk ingatkan perkara ini, namun menjadi kepentingan untuk setiap penjawat awam, termasuk anggota keselamatan untuk sentiasa peka dengan ekonomi semasa.
“Di saat kita bermewahan, ada yang terpaksa menahan lapar atau mencatu makanan agar semua anak-anak mereka dapat mengalas perut,” jelasnya.