BANGKOK: Berang kerana isteri enggan kembali ke pangkuannya menyebabkan seorang lelaki dalam keadaan mabuk tergamak menjadikan bayi mereka yang berusia lapan bulan sebagai tebusan dan diacukan pisau.
Insiden itu menyebabkan polis di Samun Prakan berdepan detik tegang dalam memujuk lelaki tersebut supaya menyerahkan anaknya tanpa mencederakan bayi berkenaan.
Polis memaklumkan, lelaki itu menculik anaknya dari rumah ibu bapanya sambil membawa sebilah pisau.
Sehubungan itu, ibu bapanya segera menghubungi polis untuk melaporkan kejadian tersebut dan pada pukul 2.30 pagi waktu tempatan, polis dikerahkan ke daerah Bang Muang di pinggir Bangkok.
Polis menemukan lelaki itu di tempat letak kenderaan sambil mendukung anaknya dan memegang pisau.
Polis mengambil masa selama satu jam untuk memujuk lelaki tersebut meletakkan senjata dan menyerahkan anaknya kepada isterinya yang turut dipanggil ke lokasi kejadian.
Video yang dirakam orang ramai menunjukkan ibu bayi berkenaan perlahan-lahan cuba mendekati suaminya dan segera mengambil anaknya.
Dalam pada itu, bapa lelaki tersebut memberitahu, anaknya mempunyai hubungan keruh dengan isterinya sejak beberapa tahun lalu.
Isterinya melarikan diri kerana tidak tahan sering dipukul oleh lelaki tersebut, selain wanita itu menjadi pencari rezeki utama dalam keluarganya, manakala suaminya tidak bekerja.
Selepas ditinggalkan isteri, lelaki itu sering mabuk dan mengambil keputusan untuk menjadikan anaknya sebagai tebusan bagi mengugut isterinya supaya mereka kembali bersama sebagai suami isteri.
Sementara itu, lelaki itu ditahan polis dan dibawa ke balai polis untuk siasatan.