DENPASAR: Pemerintah Bali akan melaksanakan sistem kerja dari rumah (BDR) serta persekolahan dalam talian sepanjang Sidang Kemuncak Pemimpin Dunia G20 berlangsung pertengahan November ini.
Bagaimanapun portal berita Kompas.com melaporkan, polisi berkenaan hanya akan dilaksanakan di dua kawasan iaitu daerah Badung dan Kota Denpasar.
Ketua Komunikasi dan Informasi Bali, Gede Permana berkata, pihaknya menyediakan 1,834 lokasi wifi percuma bagi menyokong aktiviti BDR dan pembelajaran secara dalam talian di dua daerah berkenaan.
“Sekatan terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran kepada hanya dalam talian sahaja dilaksanakan di semua sekolah di daerah Badung dan Kota Denpasar.
“Polisi BDR juga dikenakan kepada semua pekerja swasta dan penjawat awam kecuali pekerja hotel,” jelasnya.
Beliau berkata, pekerja hotel bagaimanapun perlu bekerja di premis seperti biasa kerana mereka perlu melayan pelancong-pelancong yang bercuti di pulau itu.
Tambahnya, aktiviti pembelajaran dalam talian turut diguna pakai di Universiti Udayana kerana terletak berhampiran lokasi Sidang Kemuncak G20.
Polisi tersebut dilaksanakan selepas Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan meminta supaya Gabenor Bali, Wayan Koster mengurangkan aktiviti masyarakat sepanjang sidang kemuncak antarabangsa itu berlangsung.