BANGKOK: Seorang anggota polis cedera selepas ditembak isteri keempatnya yang sedang sarat hamil dalam satu kejadian, di sini semalam.
Ketika kejadian, Kasityos Phraekhao sedang berehat di luar Balai Polis Phra Khanong sebelum dia didatangi isterinya.
Menurut beberapa saksi, seorang wanita yang memakai baju mengandung bertengkar dengan Kasityos sehingga suara mereka boleh didengari dengan jelas.
Ketika asyik bertengkar, wanita itu tiba-tiba mengeluarkan pistol lalu menembak suaminya.
Akibat tembakan itu, Kasityos mengalami kecederaan di bahagian kiri badannya dan dibawa masuk segera ke balai polis untuk diberi rawatan kecemasan.
Dalam pada itu, beberapa anggota polis yang lain cuba menenangkan suspek yang masih marah dan memegang pistol.
Sebaik sahaja wanita itu bertenang, dia ditahan bagi membantu siasatan kerana menggunakan senjata api tanpa permit sehingga mendatangkan kecederaan.
Balai polis tersebut kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa insiden yang berlaku tidak mempunyai kaitan dengan pihaknya dan enggan membiarkan perkara berkenaan mencalarkan imej polis.
Bangkok Post melaporkan, mangsa mempunyai empat isteri dan punca pergaduhannya dengan isteri keempat tersebut belum dapat dikenal pasti.
Mangsa kini menerima rawatan di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil.










