KYIV: Sekurang-kurangnya 19 orang maut dan lebih 100 lagi cedera akibat siri serangan udara Russia di seluruh Ukraine, pada sehari sebelumnya.
Menurut Perkhidmatan Kecemasan Ukraine, data awal mengesahkan seramai 19 orang terkorban manakala 105 lagi mengalami kecederaan.
Perkhidmatan Kecemasan Ukraine sebelum ini melaporkan seramai 14 orang maut dan 97 cedera akibat serangan dilancarkan Russia.
Russia melancarkan serangan balas besar-besaran di Ukraine, selepas Moscow menyalahkan Kyiv susulan letupan jambatan Crimea Russia.
Pihak berkuasa Ukraine memaklumkan tentera tentera Russia sudah melancarkan lebih 80 peluru berpandu di beberapa bandar di seluruh negara termasuk Kyiv sehingga memusnahkan bangunan dan infrastruktur yang penting.
Jelas Perkhidmatan Kecemasan Ukraine, lebih 300 kawasan di seluruh wilayah itu terputus bekalan elektrik berikutan serangan berkenaan.
Sementara itu, perkhidmatan kecemasan berkata, tentera Russia melancarkan serangan di Zaporizhzhia, bandar yang kini dikuasai oleh Ukraine.
Menurutnya, sebanyak 12 peluru berpandu S-300 ditembak ke arah infrastruktur awam sehingga mengakibatkan seorang penduduk terkorban dalam siri serangan terbaharu di bandar itu sepanjang minggu lalu. – AFP