NEW YORK: Seorang wanita berusia 28 tahun yang sebelum ini adalah `superaktif’ kini dilaporkan hanya terlantar di atas katil dan kerap pengsan.
Memetik laporan Daily Mail, Lyndsi Johnson dari Bangor di negeri Maine, Amerika Syarikat (AS), tidak mampu berdiri lama dengan sendiri selama lebih tiga minit dan dia seolah-olah mempunyai ‘alahan terhadap graviti’.
Bekas juruteknik dari tentera laut itu kini bergantung harap pada suaminya untuk melakukan semua kerja hariannya.
Johnson kini menghabiskan banyak masa dengan terbaring atas katil setiap hari dan hanya bangun sebentar untuk melakukan perkara penting seperti mandi.
Dilaporkan, Johnson boleh pitam lebih 10 kali sehari ketika tidak sihat.
Selepas bertahun-tahun berjumpa ramai doktor, Johnson akhirnya disahkan mengalami sindrom takikardia postural awal tahun ini.
Sindrom postural orthostatic tachycardia (PoTS) merupakan peningkatan kadar degupan jantung yang tidak normal dan pantas apabila seseorang berdiri atau duduk sehingga menyebabkan individu itu mengalami pening atau pengsan.
Keadaan itu sukar untuk didiagnosis, namun satu daripada 100 warga Britain dan AS hidup dengan beberapa bentuk kondisi berkenaan.
Sistem tubuh individu tidak mampu melakukan penyesuaian secara memadai terhadap perubahan daya graviti dihasilkan ketika badan berubah posisi seperti daripada berbaring kepada bangun berdiri.
“Saya mempunyai alahan kepada graviti yang kedengaran sepeti tidak logik, tetapi ia adalah benar.
“Saya tidak boleh berdiri lama lebih tiga minit kerana akan menyebabkan saya rasa hendak pengsan, sakit atau pitam.
“Saya hanya mampu terbaring atas katil sepanjang hari tanpa melakukan apa-apa,” katanya.
Johnson mula mengalami sakit perut dan bahagian belakang badannya sejak Oktober 2015 semasa berkhidmat di luar negara.
“Saya dibenarkan keluar dari hospital Tentera Laut AS pada Mei 2018 selepas gejala menjadi teruk dan doktor tidak dapat mencari punca kesakitan saya.
“Pada tahun sama, keadaan saya bertambah buruk dan saya mula muntah secara kerap,” katanya.