THE HAGUE: Agensi Perubatan Kesatuan Eropah (EMA) mengumumkan varian baharu Covid-19 akan muncul semasa musim sejuk ini.
Namun, agensi itu memberi jaminan vaksin sedia ada dapat melindungi orang ramai daripada dijangkiti penyakit kritikal dan risiko kematian.
Ketua Vaksin EMA, Marco Cavaleri berkata, rakyat tidak perlu bimbang dan menunggu kemunculan vaksin spesifik.
“Vaksin asal masih berupaya melindungi orang ramai daripada dijangkiti penyakit berbahaya akibat Covid-19 dan kematian.
“Varian baharu pada musim sejuk ini mungkin akan menjadi lebih hampir kepada strain Omicron terdahulu yang kini sebahagian besarnya diatasi oleh jenis BA.4 dan 5,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas 27 negara EU sedang mempersiapkan kempen dos penggalak ekoran kebimbangan kemunculan gelombang koronavirus baharu hujung tahun ini.
Katanya, vaksin itu merupakan gabungan suntikan baharu yang diluluskan dari strain dominan Omicron dan vaksin asal bagi melawan virus yang muncul di China sejak 2019.
Khamis lalu, EMA meluluskan vaksin Pfizer/BioNTech dan Moderna bagi menangani subvarian BA.1 Omicron.
Versi Pfizer yang dikemas kini untuk strain BA.4 dan 5 akan diluluskan pertengahan September ini.-AFP