Ukraine dakwa berjaya tawan semula wilayah, usir lebih ramai tentera Russia - Utusan Malaysia

Ukraine dakwa berjaya tawan semula wilayah, usir lebih ramai tentera Russia

PRESIDEN Ukraine, Volodymyr Zelensky bertemu dengan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken di Kyiv. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Ukraine memuji serangan balas pantas dilakukan tenteranya yang dikatakan berjaya menawan semula sebahagian besar wilayahnya di timur dan selatan.

Sehubungan itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, yang melawat negara itu, menjanjikan lebih banyak bantuan.

“Kami mendapat maklumat menyeluruh mengenai serangan balas dan, sekali lagi, ia adalah terlalu awal, namun terdapat kemajuan yang jelas lagi nyata di lapangan.

“Terutama kemajuan tentera Ukraine di sekitar Kherson, selain beberapa perkembangan menarik di Donbas, di timur.

“AS juga berikrar untuk terus memberikan sokongan selama mana yang diperlukan oleh Ukraine,” katanya kepada pemberita sebelum meninggalkan Kyiv.

Blinken mengumumkan AS$2.2 bilion (RM9.9 bilion) bagi pembiayaan ketenteraan baharu kepada Ukraine dan 18 negara lain yang berisiko menghadapi pencerobohan Russia pada masa hadapan.

Kira-kira AS$1 bilion (RM4.5 bilion) akan diberikan kepada Ukraine. AS juga mengumumkan AS$675 juta (RM3 bilion) bantuan berasingan dalam bentuk senjata kepada negara itu.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, dalam ucapan videonya, berkata tentera Kyiv berjaya membebaskan puluhan penempatan dan menuntut semula 1,000 kilometer (km) persegi wilayah di timur dan selatan sejak 1 September lalu.

Zelenskiy turut memuat naik video di mana askar Ukraine mendakwa menawan bandar timur Balakliia berhampiran Kharkiv, bandar kedua terbesar di Ukraine.

Video yang disiarkan itu menunjukkan Russia meninggalkan trak, meriam dan kotak peluru apabila melarikan diri.

Vitaly Ganchev, seorang pegawai tempatan pro-Russia, memberitahu televisyen kerajaannya, bahawa tentera Moscow memerangi cubaan Ukraine untuk mengepung dan menangkap Balakliia, yang dikatakan kekal di tangan Russia.

Terdahulu, Brigadier Jeneral Ukraine, Oleksiy Gromov, berkata tentera mara sehingga 50 km di belakang garisan Russia dan menawan semula lebih 20 perkampungan di wilayah Kharkiv.

Jika kemenangan itu disahkan dan berkekalan, ia menjadi tamparan hebat bagi Russia, yang menurut perkhidmatan perisikan Barat, sudah banyak kehilangan tenteranya.

Ia juga akan menjadi rangsangan besar kepada Ukraine, yang berminat untuk menunjukkan kepada penyokong Barat bahawa ia boleh mengubah arus konflik dan berhak mendapat sokongan berterusan.

Serangan balas mengejut, minggu ini di wilayah Kharkiv menyaksikan tentera Ukraine melakukan serbuan secara tiba-tiba di belakang barisan tentera Russia selepas berminggu-minggu bercakap mengenai serangan balas besar di selatan sekitar Kherson.

Penganalisis tentera Barat percaya Russia mungkin membiarkan dirinya terdedah di kawasan lain kerana ia bergegas untuk mengukuhkan kedudukan di selatan.

Penasihat presiden Ukraine, Oleksiy Arestovych, mengesahkan tanggapan itu.

Dalam video YouTube, beliau berkata: “Pada dasarnya, ini adalah satu kejayaan besar. Kami menemui titik lemah di mana musuh tidak bersedia”. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN